Selasa, 27 November 2018

Razman anggap 2009 tahun rezeki

ARKIB : 24/07/2009
SHAH ALAM - Bukan sahaja dapat meraih dua gelaran utama, Piala FA dan Liga Super malah pemain pertahanan kanan Selangor, Razman Roslan, turut mendapat bonus apabila bakal mendirikan rumah tangga bulan depan.

Pemain berusia 25 tahun itu yang merupakan tonggak dalam membantu Selangor meraih kejayaan musim ini menganggap 2009 merupakan tahun rezeki buatnya.

Menurut bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu, semangat pasukan Selangor tahun ini amat berbeza walaupun beraksi tanpa pemain import.

"Kami bergantung kepada pemain tempatan musim ini, bagaimanapun rata-rata pemain yang mewakili Selangor musim ini bukan calang-calang pemain termasuk mereka yang berhijrah dari pasukan lain," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

Jelasnya, pemain Selangor musim ini berjaya membentuk pasukan yang mantap selepas kekal konsisten dalam saingan liga dari awal sehingga akhir musim.

"Saya tidak menyangka mampu meraih kejayaan yang penuh bermakna musim ini tetapi saya sedar kami bukan pasukan biasa selepas menumpaskan Kedah 4-1 dalam saingan Piala Sumbangsih.

"Salah satu faktor yang membawa kepada kejayaan Selangor ialah semua pemain memberikan persembahan terbaik, di samping teknik dan taktikal yang menjadi," katanya.

Kata Razman, dia memang telah merancang dari awal untuk mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun dan apa yang dirancangnya tercapai, lebih manis ia hadir dengan kejayaan bersama Selangor.

Razman akan melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya, Ozy Azeya Abd. Aziz yang berasal dari Johor 15 Ogos ini selepas bertunang Disember tahun lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5Y3jlNsP0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 26 November 2018

Selangor cemas sebelum catat kemenangan


ARKIB : 01/07/2009
 KUALA LUMPUR - Selangor terpaksa menunggu jaringan kemenangan pemain gantian Amirulhadi Zainal pada minit ke-77 untuk mengutip tiga mata penuh sekali gus mengekalkan teraju Liga Super apabila menewaskan KL PLUS 1-0 di Stadium Shah Alam, semalam.

Jaringan Amirulhadi yang dimasukkan di babak kedua dihasilkan setelah mendapat hantaran silang R. Surendran, membolehkan skuad K. Devan mengumpul 51 mata.

Namun, Perlis terus menghambat Selangor bagi penentuan juara Liga Super musim ini apabila menang 4-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dengan baki empat perlawanan, Perlis yang ketinggalan dua mata dilihat merupakan pencabar tunggal Selangor bagi penentuan juara musim ini.

Di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, rentak kemenangan Kelantan direntap oleh Terengganu apabila mengalahkan skuad bimbingan Peter Butler 2-0.

Pasukan tuan rumah, Terengganu memperoleh gol menerusi Ahmad Nordin Alias pada minit ketujuh sebelum Abdul Manaf Mamat menamatkan sisa peluang Kelantan menerusi gol kedua pada minit ke-54.

Aksi tegang perlawanan menyebabkan penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin dibuang padang pada minit ke-78 kerana mengkasari Tengku Hazman Raja Hassan.

Kedah yang seri tanpa jaringan dengan KL PLUS Sabtu lalu, bangkit dengan kemenangan 1-0 ke atas UPB MyTeam menerusi jaringan Mohd. Afif Amiruddin pada perlawanan di Stadium Darulaman, Alor Setar.

Johor FC pula mencatat kemenangan selesa di tempat lawan apabila mengalahkan Perak 3-0 di Stadium Perak, Ipoh.

Pasukan pelawat mendahului seawal minit ketiga hasil jaringan Mohd. Azizan Baba disusuli Mohd. Nurul Azwan pada minit ke-52 dan Mohd. Ezaidy M. Kadar pada minit ke-90.

Sementara itu, pertembungan dua pasukan tercorot menyaksikan Pahang mengalahkan Polis 3-1 di Stadium Darulmakmur, Kuantan.

Pasukan tuan rumah meraih gol menerusi R. Karthigesan (m-20), R. Surendran (m-35) dan Mohd. Bardul Hisani (m-50) manakala pelawat memperoleh jaringan sagu hati menerusi Mohd. Fauzi Abdul Rasyid pada minit ke-65.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang membenam KM Naza 3-0 menerusi jaringan Mohd. Irme Mat (m-31), S. Thinagaran (m-71) dan Muhd. Rafiuddin Roddin (m-84).



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5XxIgbdu6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor kembali teraju Liga


 
ARKIB : 24/06/2009
Selangor kembali teraju Liga
Pemain Selangor, Rudie Ramli (kanan) diasak oleh pemain Johor FC, M. Sivakumar dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Utusan Malaysia/Mohd. Shaharani Saibi

KUALA LUMPUR -- Selangor mengambil alih semula teraju carta persaingan bola sepak Liga Super 2009 daripada Perlis yang tidak bermain setelah menumpaskan Johor FC 4-1 di Stadium Shah Alam, semalam.

Malah Gergasi Merah cukup bertuah ketika meraih tiga mata itu untuk memintas Singa Utara apabila dua pemain Johor FC, M. Sivakumar dan Syafuan Riduwan menghadiahkan gol sendiri pada minit ke-12 dan 48.

Sekalipun pelawat dari selatan Semenanjung itu sempat menyamakan jaringan menerusi Eddy Helmi Manan pada minit ke-40, R. Surendren memastikan Merah Kuning tetap unggul dengan dua gol minit ke-67 dan 69.

Pencabar di tempat ketiga liga, Negeri Sembilan pula dikejutkan dengan dua gol penyerang utama Perak, Razali Umar Kandasamy untuk membolehkan tuan rumah menang 2-0 di Stadium Perak, Ipoh.

Kekalahan anak buah Wan Jamak Wan Hassan itu membuka peluang Kelantan merampas tempat ketiga liga setelah membelasah Polis Diraja Malaysia 4-0 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu sementara Kedah tidak bermain kerana menyertai Piala AFC.

Bekas penyerang negara, Khalid Jamlus bertindak garang dengan menyumbat dua gol buat Wira Merah pada minit ke-63 dan 80 selain masing-masing satu daripada Mohd. Halimi Fahmi (ketujuh) dan Indra Putra Mahayuddin (45).

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang ditimpa kekalahan yang ke-14 dalam liga musim ini dengan ditundukkan KL PLUS 3-1 sekalipun sempat mendahului menerusi ketua pasukannya, B. Jaganathan pada minit pertama.

Kelab ibu kota yang digelar Wira Lebuh Raya itu bagaimanapun memastikan mata penuh hasil jaringan bekas pemain tengah negara, Fadzli Saari pada minit ke-54 selain dua gol daripada Rusydee Samsuddin pada minit ke-59 dan 69.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang masih tidak mampu keluar dari tangga kedua tercorot setelah kecundang 3-2 kepada UPB-MyTeam yang bernasib baik kerana pulang dengan tiga mata menerusi gol minit terakhir.

Mohd. Fazrul Hazli muncul wira pelawat selain dua gol oleh Stanley Bernard pada minit ke-18 dan 20 manakala Tok Gajah membalas menerusi Mohd. Shahrizan Mohd. Salleh dan Muhammad Badrul Hisani (56 dan 83).

Perlawanan Terengganu dengan KM Naza di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pula ditunda ke hari ini kerana hujan lebat melanda padang sejak minit ke-34.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5XwynpAxR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Surendran pastikan Selangor terus mencengkam di puncak


ARKIB : 17/06/2009
KUALA LUMPUR – Gol tunggal penyerang, R. Surendran pada babak kedua memastikan Selangor kekal mendahului bola sepak Liga Super dengan menundukkan Perak 1-0 di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Selepas mengharungi buntu tanpa jaringan sepanjang babak pertama, Surendran memecah kebuntuan dengan menolak hantaran silang C. Premnath pada minit ke-48 untuk menewaskan penjaga gol Perak, Kamarul Effandi Abdul Rahim.

Kemenangan tersebut membolehkan juara Piala FA kekal itu di puncak dengan kelebihan satu mata ke atas pencabar terdekat, Perlis selepas mengutip 43 mata daripada 18 perlawanan.

Perlis bagaimanapun terus meningkatkan tekanan kepada pendahulu apabila turut mencatat kemenangan, menundukkan Pahang 3-1 di Stadium Darul Makmur.

Bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof menyumbangkan dua gol buat pelawat pada minit ke-52 dan 66, manakala Azi Shahril Azmi terdahulu membuka jaringan Perlis di minit ke-30. Gol saguhati Pahang dijaringkan K. Karthikesu pada minit ke-92.

Sementara itu Kedah merampas kedudukan ketiga liga selepas membenam Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Darulaman.

Begitupun, tuan rumah terlebih dulu dicemaskan dengan gol pembukaan pelawat pada minit ke-36 menerusi penyerang kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak.

Ketika babak pertama hampir tamat, tonggak pertahanan, Mohd. Sabre Mat Abu menyamakan kedudukan menerusi tandukan minit ke-45, sebelum Mohd. Khyril Muhymeen Zambri dan Azrul Ahmad menambah dua gol pada babak kedua.

Dalam satu lagi perlawanan, Pulau Pinang diaibkan dengan kekalahan besar 0-5 kepada Johor FC di gelanggang sendiri di Stadium Bandaraya.

Sumardi Hajalan memulakan pesta gol Johor FC menerusi jaringan minit ke-18, diikuti empat gol pada babak kedua yang dijaringkan, Mohd. Ezaidy Khadar (m67), Muhd. Safuan Ridwan (71), Mohd. Nurul Azuwan Roya (76) dan Mohd. Syaiful Sabtu, minit ke-81.

Di Stadium Sultan Muhammad IV pula, Kelantan mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas UPB Myteam, berterima kasih kepada dua jaringan babak pertama Indra Putra Mahayuddin dan gol Mohd. Badri Mohd. Radzi di separuh masa kedua.

Sementara itu, Terengganu tersungkur di gelanggang sendiri selepas tunduk 0-2 kepada KL Plus di Stadium Sultan Ismail.

Kedua-dua gol kemenangan pasukan KL Plus disempurnakan oleh Rosidi Shamsuddin pada minit keempat, diikuti Irwan Fadzli Idrus, minit ke-69.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Polis gagal mencari kemenangan pertama selepas tunduk 0-2 kepada Kuala Muda Naza.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5XwlDA0fg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 25 November 2018

Selangor rampas takhta, Perlis tersungkur


ARKIB : 24/05/2009
KUALA LUMPUR - Selangor merampas takhta Liga Super daripada Perlis hasil kejayaan menewaskan Kedah 3-1 pada perlawanan di Stadium Shah Alam, semalam.

Walaupun skuad bimbingan K. Devan itu ketinggalan di babak pertama permainan menerusi jaringan Ahmad Fauzi Shaari namun mereka bangkit dengan tiga gol di babak kedua.

Mohd. Amri Yahyah (m-55) membuka jaringan buat Selangor untuk gol penyamaan sebelum Rudie Ramli (m-62) dan Amirulhadi Zainal (m-87) menghadiahkan tiga mata berharga yang membolehkan mereka kini muncul pendahulu liga.

Bagi Kedah, kekalahan kepada Selangor merencatkan usaha mereka untuk menjadi pencabar kejuaraan Liga Super musim ini apabila terpaksa turun daripada tangga ketiga ke tangga keempat liga.

Kejayaan Selangor itu turut dibantu kekalahan mengejut 0-2 Perlis di gelanggang keramat mereka di Stadium Utama Kangar kepada Terengganu.

Walaupun menguasai sebahagian besar permainan namun tempoh 15 minit terakhir menyaksikan skuad bimbingan Irfan Bakti itu tiba-tiba hilang tumpuan.

Ini membolehkan Terengganu menjaringkan dua gol menerusi Ashaari Samsudin (m-76) dan Abd. Manaf Mamat (m-90) sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah Perlis di gelanggang sendiri musim ini.

Negeri Sembilan pula kembali menduduki tangga ketiga liga selepas membelasah Pulau Pinang 5-1 di Stadium Tuanku Abd. Rahman, Paroi.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5XvN5Z8n4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor menang tipis


ARKIB : 20/05/2009
PULAU PINANG - Selangor sekadar menang tipis 1-0 selepas diberi tentangan sengit oleh skuad tuan rumah dalam Liga Super di sini, semalam.

Namun begitu, skuad Gergasi Merah bimbingan K. Devan itu terpaksa berhempas pulas untuk mendapat tiga mata penuh setelah mendapat tentangan hebat daripada pasukan Harimau Kumbang.

Kehadiran semula Hardi Jaafar setelah digantung satu perlawanan, Sabtu lalu di Stadium Shah Alam sedikit sebanyak menyuntik semangat juara Piala FA itu.

Tewas pada perlawanan semalam bagaimanapun tidak menghalang anak didik S. Veloo mendapat pujian kerana berjaya memberi tentangan hebat di hadapan kira-kira 3,000 orang penyokong sendiri.

Babak pertama lebih banyak menyaksikan Pulau Pinang menguasai permainan dengan serangan bertali arus tetapi gagal dalam cubaan memecah kebuntuan di depan gol pasukan lawan.

Selangor yang disajikan corak permainan menyerang lawan, bagaimanapun mengejutkan tuan rumah dengan jaringan Mohd. Safee Sali minit ke-56 selepas menewaskan dua pertahanan Pulau Pinang.

Permainan kemudian menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun gagal mengubah keputusan permainan sehingga wisel penamat.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5XvAu79V9 © Utusan Melayu (M) Bhd