Isnin, 26 November 2018

Selangor cemas sebelum catat kemenangan


ARKIB : 01/07/2009
 KUALA LUMPUR - Selangor terpaksa menunggu jaringan kemenangan pemain gantian Amirulhadi Zainal pada minit ke-77 untuk mengutip tiga mata penuh sekali gus mengekalkan teraju Liga Super apabila menewaskan KL PLUS 1-0 di Stadium Shah Alam, semalam.

Jaringan Amirulhadi yang dimasukkan di babak kedua dihasilkan setelah mendapat hantaran silang R. Surendran, membolehkan skuad K. Devan mengumpul 51 mata.

Namun, Perlis terus menghambat Selangor bagi penentuan juara Liga Super musim ini apabila menang 4-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dengan baki empat perlawanan, Perlis yang ketinggalan dua mata dilihat merupakan pencabar tunggal Selangor bagi penentuan juara musim ini.

Di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, rentak kemenangan Kelantan direntap oleh Terengganu apabila mengalahkan skuad bimbingan Peter Butler 2-0.

Pasukan tuan rumah, Terengganu memperoleh gol menerusi Ahmad Nordin Alias pada minit ketujuh sebelum Abdul Manaf Mamat menamatkan sisa peluang Kelantan menerusi gol kedua pada minit ke-54.

Aksi tegang perlawanan menyebabkan penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin dibuang padang pada minit ke-78 kerana mengkasari Tengku Hazman Raja Hassan.

Kedah yang seri tanpa jaringan dengan KL PLUS Sabtu lalu, bangkit dengan kemenangan 1-0 ke atas UPB MyTeam menerusi jaringan Mohd. Afif Amiruddin pada perlawanan di Stadium Darulaman, Alor Setar.

Johor FC pula mencatat kemenangan selesa di tempat lawan apabila mengalahkan Perak 3-0 di Stadium Perak, Ipoh.

Pasukan pelawat mendahului seawal minit ketiga hasil jaringan Mohd. Azizan Baba disusuli Mohd. Nurul Azwan pada minit ke-52 dan Mohd. Ezaidy M. Kadar pada minit ke-90.

Sementara itu, pertembungan dua pasukan tercorot menyaksikan Pahang mengalahkan Polis 3-1 di Stadium Darulmakmur, Kuantan.

Pasukan tuan rumah meraih gol menerusi R. Karthigesan (m-20), R. Surendran (m-35) dan Mohd. Bardul Hisani (m-50) manakala pelawat memperoleh jaringan sagu hati menerusi Mohd. Fauzi Abdul Rasyid pada minit ke-65.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang membenam KM Naza 3-0 menerusi jaringan Mohd. Irme Mat (m-31), S. Thinagaran (m-71) dan Muhd. Rafiuddin Roddin (m-84).



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5XxIgbdu6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan