ARKIB : 17/06/2009
KUALA LUMPUR Gol tunggal penyerang,
R. Surendran pada babak kedua memastikan Selangor kekal mendahului bola sepak
Liga Super dengan menundukkan Perak 1-0 di Stadium Perak, Ipoh, semalam.
Selepas mengharungi buntu tanpa
jaringan sepanjang babak pertama, Surendran memecah kebuntuan dengan menolak
hantaran silang C. Premnath pada minit ke-48 untuk menewaskan penjaga gol
Perak, Kamarul Effandi Abdul Rahim.
Kemenangan tersebut membolehkan
juara Piala FA kekal itu di puncak dengan kelebihan satu mata ke atas pencabar
terdekat, Perlis selepas mengutip 43 mata daripada 18 perlawanan.
Perlis bagaimanapun terus
meningkatkan tekanan kepada pendahulu apabila turut mencatat kemenangan,
menundukkan Pahang 3-1 di Stadium Darul Makmur.
Bekas penyerang kebangsaan, Mohd.
Nizaruddin Yusof menyumbangkan dua gol buat pelawat pada minit ke-52 dan 66,
manakala Azi Shahril Azmi terdahulu membuka jaringan Perlis di minit ke-30. Gol
saguhati Pahang dijaringkan K. Karthikesu pada minit ke-92.
Sementara itu Kedah merampas
kedudukan ketiga liga selepas membenam Negeri Sembilan 3-1 di Stadium
Darulaman.
Begitupun, tuan rumah terlebih
dulu dicemaskan dengan gol pembukaan pelawat pada minit ke-36 menerusi
penyerang kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak.
Ketika babak pertama hampir
tamat, tonggak pertahanan, Mohd. Sabre Mat Abu menyamakan kedudukan menerusi
tandukan minit ke-45, sebelum Mohd. Khyril Muhymeen Zambri dan Azrul Ahmad
menambah dua gol pada babak kedua.
Dalam satu lagi perlawanan, Pulau
Pinang diaibkan dengan kekalahan besar 0-5 kepada Johor FC di gelanggang
sendiri di Stadium Bandaraya.
Sumardi Hajalan memulakan pesta
gol Johor FC menerusi jaringan minit ke-18, diikuti empat gol pada babak kedua
yang dijaringkan, Mohd. Ezaidy Khadar (m67), Muhd. Safuan Ridwan (71), Mohd.
Nurul Azuwan Roya (76) dan Mohd. Syaiful Sabtu, minit ke-81.
Di Stadium Sultan Muhammad IV
pula, Kelantan mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas UPB Myteam, berterima
kasih kepada dua jaringan babak pertama Indra Putra Mahayuddin dan gol Mohd.
Badri Mohd. Radzi di separuh masa kedua.
Sementara itu, Terengganu
tersungkur di gelanggang sendiri selepas tunduk 0-2 kepada KL Plus di Stadium
Sultan Ismail.
Kedua-dua gol kemenangan pasukan
KL Plus disempurnakan oleh Rosidi Shamsuddin pada minit keempat, diikuti Irwan
Fadzli Idrus, minit ke-69.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, Polis gagal mencari kemenangan pertama selepas tunduk 0-2 kepada Kuala
Muda Naza.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5XwlDA0fg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan