Isnin, 26 November 2018

Selangor kembali teraju Liga


 
ARKIB : 24/06/2009
Selangor kembali teraju Liga
Pemain Selangor, Rudie Ramli (kanan) diasak oleh pemain Johor FC, M. Sivakumar dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Utusan Malaysia/Mohd. Shaharani Saibi

KUALA LUMPUR -- Selangor mengambil alih semula teraju carta persaingan bola sepak Liga Super 2009 daripada Perlis yang tidak bermain setelah menumpaskan Johor FC 4-1 di Stadium Shah Alam, semalam.

Malah Gergasi Merah cukup bertuah ketika meraih tiga mata itu untuk memintas Singa Utara apabila dua pemain Johor FC, M. Sivakumar dan Syafuan Riduwan menghadiahkan gol sendiri pada minit ke-12 dan 48.

Sekalipun pelawat dari selatan Semenanjung itu sempat menyamakan jaringan menerusi Eddy Helmi Manan pada minit ke-40, R. Surendren memastikan Merah Kuning tetap unggul dengan dua gol minit ke-67 dan 69.

Pencabar di tempat ketiga liga, Negeri Sembilan pula dikejutkan dengan dua gol penyerang utama Perak, Razali Umar Kandasamy untuk membolehkan tuan rumah menang 2-0 di Stadium Perak, Ipoh.

Kekalahan anak buah Wan Jamak Wan Hassan itu membuka peluang Kelantan merampas tempat ketiga liga setelah membelasah Polis Diraja Malaysia 4-0 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu sementara Kedah tidak bermain kerana menyertai Piala AFC.

Bekas penyerang negara, Khalid Jamlus bertindak garang dengan menyumbat dua gol buat Wira Merah pada minit ke-63 dan 80 selain masing-masing satu daripada Mohd. Halimi Fahmi (ketujuh) dan Indra Putra Mahayuddin (45).

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang ditimpa kekalahan yang ke-14 dalam liga musim ini dengan ditundukkan KL PLUS 3-1 sekalipun sempat mendahului menerusi ketua pasukannya, B. Jaganathan pada minit pertama.

Kelab ibu kota yang digelar Wira Lebuh Raya itu bagaimanapun memastikan mata penuh hasil jaringan bekas pemain tengah negara, Fadzli Saari pada minit ke-54 selain dua gol daripada Rusydee Samsuddin pada minit ke-59 dan 69.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang masih tidak mampu keluar dari tangga kedua tercorot setelah kecundang 3-2 kepada UPB-MyTeam yang bernasib baik kerana pulang dengan tiga mata menerusi gol minit terakhir.

Mohd. Fazrul Hazli muncul wira pelawat selain dua gol oleh Stanley Bernard pada minit ke-18 dan 20 manakala Tok Gajah membalas menerusi Mohd. Shahrizan Mohd. Salleh dan Muhammad Badrul Hisani (56 dan 83).

Perlawanan Terengganu dengan KM Naza di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pula ditunda ke hari ini kerana hujan lebat melanda padang sejak minit ke-34.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5XwynpAxR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan