ARKIB : 24/05/2009
KUALA LUMPUR - Selangor merampas
takhta Liga Super daripada Perlis hasil kejayaan menewaskan Kedah 3-1 pada
perlawanan di Stadium Shah Alam, semalam.
Walaupun skuad bimbingan K. Devan
itu ketinggalan di babak pertama permainan menerusi jaringan Ahmad Fauzi Shaari
namun mereka bangkit dengan tiga gol di babak kedua.
Mohd. Amri Yahyah (m-55) membuka
jaringan buat Selangor untuk gol penyamaan sebelum Rudie Ramli (m-62) dan
Amirulhadi Zainal (m-87) menghadiahkan tiga mata berharga yang membolehkan
mereka kini muncul pendahulu liga.
Bagi Kedah, kekalahan kepada
Selangor merencatkan usaha mereka untuk menjadi pencabar kejuaraan Liga Super
musim ini apabila terpaksa turun daripada tangga ketiga ke tangga keempat liga.
Kejayaan Selangor itu turut
dibantu kekalahan mengejut 0-2 Perlis di gelanggang keramat mereka di Stadium
Utama Kangar kepada Terengganu.
Walaupun menguasai sebahagian
besar permainan namun tempoh 15 minit terakhir menyaksikan skuad bimbingan
Irfan Bakti itu tiba-tiba hilang tumpuan.
Ini membolehkan Terengganu
menjaringkan dua gol menerusi Ashaari Samsudin (m-76) dan Abd. Manaf Mamat
(m-90) sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah Perlis di gelanggang sendiri
musim ini.
Negeri Sembilan pula kembali
menduduki tangga ketiga liga selepas membelasah Pulau Pinang 5-1 di Stadium
Tuanku Abd. Rahman, Paroi.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5XvN5Z8n4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan