SHAH ALAM - Bukan sahaja dapat
meraih dua gelaran utama, Piala FA dan Liga Super malah pemain pertahanan kanan
Selangor, Razman Roslan, turut mendapat bonus apabila bakal mendirikan rumah
tangga bulan depan.
Pemain berusia 25 tahun itu yang
merupakan tonggak dalam membantu Selangor meraih kejayaan musim ini menganggap
2009 merupakan tahun rezeki buatnya.
Menurut bekas pelajar Sekolah
Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu, semangat pasukan Selangor tahun ini amat berbeza
walaupun beraksi tanpa pemain import.
"Kami bergantung kepada
pemain tempatan musim ini, bagaimanapun rata-rata pemain yang mewakili Selangor
musim ini bukan calang-calang pemain termasuk mereka yang berhijrah dari
pasukan lain," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.
Jelasnya, pemain Selangor musim
ini berjaya membentuk pasukan yang mantap selepas kekal konsisten dalam saingan
liga dari awal sehingga akhir musim.
"Saya tidak menyangka mampu
meraih kejayaan yang penuh bermakna musim ini tetapi saya sedar kami bukan
pasukan biasa selepas menumpaskan Kedah 4-1 dalam saingan Piala Sumbangsih.
"Salah satu faktor yang
membawa kepada kejayaan Selangor ialah semua pemain memberikan persembahan
terbaik, di samping teknik dan taktikal yang menjadi," katanya.
Kata Razman, dia memang telah
merancang dari awal untuk mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun dan apa
yang dirancangnya tercapai, lebih manis ia hadir dengan kejayaan bersama
Selangor.
Razman akan melangsungkan
perkahwinan dengan gadis pilihannya, Ozy Azeya Abd. Aziz yang berasal dari
Johor 15 Ogos ini selepas bertunang Disember tahun lalu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5Y3jlNsP0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan