Rabu, 21 Mac 2018

Selangor, NS hambat Perlis


ARKIB : 03/05/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
SHAH ALAM - Selangor yang masih segar dengan kejayaan menjulang trofi Piala FA minggu lalu meneruskan rentak kemenangan apabila menundukkan Terengganu 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan itu membolehkan Selangor menghampiri pendahulu liga, Perlis dengan dipisahkan satu mata sahaja ketika ini.

Selain itu, Selangor turut melunaskan dendam Red Giants yang kalah 1-2 kepada Terengganu pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu 31 Mac lalu.

Trofi Piala FA yang dijulang minggu lalu selepas menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan penalti ternyata menyuntik semangat anak buah K. Devan yang membuka jaringan menerusi Rudie Ramli (m-14).

Dua lagi gol tuan rumah dijaringkan Safee Sali (m-38, 82). Terengganu pula memperoleh gol saguhati menerusi Mohd. Shahrul Azrain (m-81).

Perlis masih mempertahankan kedudukan mereka di puncak liga walaupun sekadar seri tanpa jaringan di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Namun pasukan itu yang kini mengumpul 29 mata makin cemas dihambat Selangor yang mengumpul 28 mata.

Negeri Sembilan pula melonjak dua anak tangga ke tempat ketiga liga selepas membenam Kelantan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dengan memintas Kedah dan Kelantan, Negeri Sembilan kini mengumpul 27 mata, dua mata mengatasi kedua-dua pasukan itu.

Kedua-dua gol Negeri Sembilan, semalam disumbang Mohd. Shukor Adan pada minit ke-11 dan 83.

Di Stadium Perak, pasukan tuan rumah tewas mengejut 0-1 di tangan Pulau Pinang hasil jaringan tunggal S. Thinagaran pada minit ke-73.

Satu lagi perlawanan di Stadium KLFA, Cheras, UPB-MyTeam menewaskan pasukan tuan rumah, KL Plus juga dengan jaringan 1-0.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5ANHe5Lgh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 20 Mac 2018

Selangor mahu ulangi kejayaan juara Treble 2005


ARKIB : 27/04/2009
MUSIM lalu Selangor sering kecewa apabila setiap kali beraksi di peringkat akhir baik dalam Piala FA mahupun Piala Malaysia hajat mereka untuk muncul juara sering disekat oleh pasukan Kedah.

Bagaimanapun malam kelmarin mereka memberi isyarat bahawa 2009 akan menjadi musim gemilang seperti mana yang dilakukan pada 2005 (kejuaraan treble) selepas muncul juara Piala FA menewaskan Kelantan.

Ketika ketinggalan 1-0 pada masa tambahan kepada anak-anak buah Peter Butler ramai yang beranggapan bahawa Piala FA tahun ini akan singgah di Pantai Timur tetapi ketua pasukan, Amri Yahyah hadir sebagai penyelamat menerusi jaringan penyamaan.

Kehadiran seimbang kira-kira, 80,000 penyokong kedua-dua pasukan masuk ke peringkat yang lebih mendebarkan apabila kemenangan ditentukan melalui sepakan penalti.

Namun pengalaman yang dimiliki pemain Selangor seperti Khairul Anuar Baharom, D.Surendren dan Safee Sali menceriakan penyokong Merah Kuning selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti termasuk pemain berusia 22 tahun, Mohd. Nasriq Baharom.

Sebaliknya pemain berpengalaman Kelantan, Indra Putra Mahayuddin dan Zairul Fitree Ishak gagal melaksanakan tanggungjawab besar apabila sepakan kedua-dua pemain itu masing-masing terkena palang dan tersasar.

Kegagalan kedua-dua pemain Kelantan itu membolehkan Amri menjulang piala kedua musim ini selepas menjuarai Piala Sumbangsih Februari lalu menewaskan Kedah 4-1.

Ada yang mula membayangkan Selangor sudah mengorak langkah untuk mengulangi kejayaan 2005 muncul juara Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia di bawah kendalian Dollah Salleh.

Kedudukan pasukan Gergasi Merah di dalam Liga Super pula hanya kurang tiga mata daripada pasukan pendahulu Perlis dan K. Devan menggangap jarak tersebut masih mampu untuk dipintas mereka jika terus mencatatkan kemenangan demi kemenangan.

Apa yang perlu difikirkan oleh bekas pengendali Negeri Sembilan dan KM Naza itu ialah mencari formula terbaik untuk mengasah lebih tajam bahagian serangan mereka memandangkan dalam perlawanan akhir kelmarin tidak lebih dari 12 percubaan dilakukan Selangor berbanding Kelantan hampir 20 percubaan.

Gandingan antara Safee dan Rudie Ramli perlu dipertajamkan lagi bagi mengulangi kehebatan bekas pemain import mereka pada 2005 Bambang Pamungkas yang sentiasa menggegarkan jaring pasukan lawan.

Bahagian tengah Selangor pula dilihat seimbang antara pemain senior dan pemain muda diketuai Amri sambil dibantu Hardi Jaafar, Amirulhadi Zainal, C. Premnath dan Fazalidin Khalid membentuk gandingan mantap.

Jika pasukan ini terus dipelihara dan digilap seperti mana yang dimahukan oleh Devan, sudah tentu kejayaan demi kejayaan bukan sahaja bakal dikaut mereka pada musim ini sahaja malah berterusan pada musim-musim yang mendatang.

Kekuatan di setiap posisi juga harus diseimbangkan dan pemain-pemain lain tidak seharusnya hanya mengharapkan kepada sentuhan Amri sahaja malah bersama-sama membantu anak jati Selangor itu untuk mengulangi 'Treble 2005'.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5AH8yMsbX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor juara FA


ARKIB : 26/04/2009
 
Pasukan Selangor meraikan kejayaan menumpaskan Kelantan bersama-sama Piala FA selepas menang 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti ekoran terikat 1-1 selepas masa tambahan.

KUALA LUMPUR – Selangor melebarkan rekod kejaguhannya dalam persaingan bola sepak kalah mati kebangsaan apabila menjulang Piala FA buat kali kelima dengan menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Juara 1991, 1997, 2001 dan 2005 itu turut menambah gelaran Liga Malaysia musim 2009 ini selepas Piala Sultan Ahmad Shah, Januari lalu biarpun terpaksa mengikat Kelantan 1-1 sehingga 30 minit masa tambahan setelah kedua-duanya buntu jaringan dalam permainan sebenar 90 minit.

Skuad Wira Merah yang cuba merangkul gelaran sulung bola sepak utama tempatan sempat mendahului menerusi tandukan Nor Farhan Muhammad pada minit ke-92 namun ketua pasukan Gergasi Merah, Amri Yahyah menyamakannya, juga dengan tandukan minit ke-100.

Sepakan penentuan penalti Selangor disudahkan oleh Khairul Anuar Baharum, Nasriq Baharom, D. Surendran dan Safee Sali manakala dua sepakan pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin dan Zairul Fitree Ishak mengenai palang dan tinggi tersasar.

Di depan kira-kira 80,000 penonton, seawal minit kedua sudah menyaksikan Safee Sali dan R. Surendren terlepas tandukan ketika mencari gol awal daripada satu sepakan sudut D. Surendran setelah penjaga gol Kelantan, Shahrizan Ismail terlebih dulu mendakap bola.

Safee, ayam tambatan Merah Kuning, pula mensia-siakan peluang kedua, empat minit kemudian dengan rembatan lambung kaki kiri yang sepatutnya lebih kuat kerana Shahrizan sudah terlajak ke depan.

Gergasi Merah tiba-tiba kelam-kabut di depan gawangnya pada minit ke-8 dengan asakan mengejut Si Kijang namun bek tengah, Nasriq Baharom berjaya meleraikan kegawatan itu dengan pantas merembat keluar.

Pembaziran peluang Kelantan berlaku pada minit ke-11 menerusi sepakan bebas sayap kirinya, Indra Putra Mahayuddin yang sekadar melambung tinggi, begitu juga rembatan Ahmad Ezrie Shafizie Sazali, 10 minit selepas itu.

Kesempatan terbaik untuk menebus kesilapan itu yang turut mengejutkan Selangor tiba pada minit ke-23 apabila rembatan kaki kanan Indra sempat menggegarkan palang ketika penjaga gol lawan, Hamsani Ahmad sudah pun tumpas.

Pada minit ke-52, Selangor mengorak langkah dengan asakan yang lebih meyakinkan lalu nyaris beroleh gol sulung jika tandukan ketua pasukan, Amri Yahyah lebih tajam dihala melepasi Shahrizan.

Merah Kuning sekali lagi berpeluang baik menerusi rembatan kaki kiri Rudie Ramli yang memusingkan badannya daripada sepakan bebas D. Surendran pada minit ke-68 namun Shahrizan masih tangkas membaca dan menangkapnya.

Kelantan sebaliknya enggan mengalah dengan tentangannya lalu minit ke-83 menyaksikan penyerangnya, Nor Farhan Muhammad yang diumpan Khalid Jamlus, meledakkan rembatan sebelum ditumbuk ke depan oleh Hamsani.

Gol yang ditunggu-tunggu kira-kira 50,000 penyokong Kelantan, dicipta dengan tandukan Nor Farhan pada minit ke-92 dengan menyudahkan umpanan lambung ketua pasukan, Badhri Radzi selepas mendapat tolakan Khalid dari sebelah kanan.

Bagaimanapun pesta kegembiraan dan kebingitan sorakan itu langsung lenyap lapan minit kemudian apabila ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah menanduk rendah daripada umpanan lambung kanan Surendran untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Malah Surendran hampir menjaringkan gol kemenangan Selangor menerusi rembatan deras kaki kanannya pada minit ke-113 yang bagaimanapun berjaya ditepis keluar Shahrizan dengan meyakinkan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5AH68pU4g
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor juara Piala FA


ARKIB : 25/04/2009
25/04/2009 11:58pm
KUALA LUMPUR - Selangor muncul juara Piala FA selepas menewaskan Kelantan menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Terdahulu kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh 90 minit permainan sebenar. Ini merupakan kali kelima Selangor merangkul kejuaraan Piala FA.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_13.htm#ixzz5AGmdYHzu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 10 Mac 2018

Gergasi Merah terus kekal terajui takhta liga

ARKIB : 22/03/2009
KUALA LUMPUR – Selangor mengekalkan kedudukan pendahulu bola sepak Liga Super selepas menewaskan Kuala Muda Naza 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam.

Begitupun Kelantan terus memberi tekanan dengan mengekori di tangga kedua selepas mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Mohammed ke-IV.

Selangor dan Kelantan berkongsi 21 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan, namun dipisahkan menerusi perbezaan gol.

Mohd. Nor Farhan Mohamad mengetuai kemenangan besar Kelantan dengan menyumbat dua gol pada minit ke-23 dan 56, diikuti jaringan Ramzul Zahimi Adenan pada minit ke-38 dan Md. Badri Mohd. Radzi, minit ke-65.

Di Stadium Utama, Kangar, Perlis gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri apabila seri tanpa jaringan dengan Perak.

Negeri Sembilan pula terpaksa menamatkan permainan dengan 10 pemain ketika diikat 1-1 dengan UPB MyTeam di Stadium MBPJ.

Dalam perlawanan di Stadium KLFA, Cheras, Johor FC melupakan kekalahan pada Piala AFC, Selasa lalu dengan menundukkan KL Plus 1-0.

Penyandang juara, Kedah pula memperbaiki kedudukan ke tangga kelima selepas membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Kedua-dua gol Kedah dijaringkan Azrul Ahmad pada minit ke-30, diikuti jaringan Mohd. Faizal Abu Bakar, minit ke-61.

Sementara itu, dua jaringan Azlan Ismail pada minit ke-10 dan 17 membantu Terengganu mencatat kemenangan 3-0 ke atas Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Satu lagi gol tuan rumah dijaringkan Md. Ashaari Shamudin pada minit ke-62.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz59LA3TRjp
© Utusan Melayu (M) Bhd