Sabtu, 21 Oktober 2017

Selangor tidak rela dirobek



ARKIB15.1.2008

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
PEMAIN pertahanan Selangor, Mohd. Razman Roslan menyatakan dia dalam keadaan bersedia untuk menangkis segala asakan jentera serangan Terengganu dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu malam ini.

Gandingannya bersama pertahanan import dari Zambia, Evans Chisulo dilihat semakin mantap kebelakangan ini selepas digandingkan dalam empat perlawanan terakhir skuad Gergasi Merah itu.

“Saya mula digandingkan dengan Evans ketika perlawanan menentang Kedah. Pada awalnya, memang agak sukar nak bentuk persefahaman dengan Evans.

“Tetapi selepas itu, ketika menentang Perlis, Pahang dan Polis, saya sudah mula memahami corak permainannya dan kami kini semakin serasi,” katanya.

RAZMAN (kiri) bertekad mahu kekang Terengganu
Razman, 24, bagaimanapun tetap menganggap perlawanan menentang Terengganu di gelanggang lawan malam ini pasti sukar seperti ketika aksi di Alor Star pada 29 Disember lalu di mana Selangor dibelasah Kedah 2-6.

“Walaupun diberitakan penyerang import Terengganu tidak dapat beraksi, kami tidak mahu terlalu yakin. Saya sudah cakap dengan Evans, kita telah bolos satu gol dalam setiap perlawanan pada tiga aksi lalu.

“Jadi, saya dan Evans kini menyimpan hajat untuk memastikan pintu gol Selangor tidak dibolosi pada perlawanan ini, sekali gus meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Polis 4-1, Sabtu lalu,” ujarnya.

Pemain kelahiran Kajang itu turut memberitahu dia semakin selesa dengan posisi pertahanan tengah selepas hanya mengisi posisi pertahanan kanan atau sayap kanan sejak menyertai skuad senior Selangor pada 2004.

“Sebelum ini saya tidak diberi peluang beraksi sebagai pertahanan tengah, tetapi Alhamdulillah sekarang saya rasa semakin matang dengan posisi baru ini. Insya-Allah saya dan rakan-rakan akan berusaha mencuri mata daripada Terengganu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Selangor kehilangan tonggak pertahanan kiri, P. Gunalan yang digantung satu perlawanan setelah mengutip kad kuning ketiga, Sabtu lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4w8hO0pKO
Hakcipta terpelihara

Jumaat, 20 Oktober 2017

Selangor selesa menghuni puncak liga -- Saingan bola sepak Liga Super

ARKIB : 24/12/2007
 
Tonggak Selangor, Indra Putra Mahayuddin (kiri) diasak oleh dua pemain Pulang Pinang di Stadium Shah Alam, malam tadi.

SHAH ALAM – Penyerang utama negara, Safee Sali membuktikan sentuhannya masih berbisa biar pun turun sebagai pemain gantian apabila jaringannya pada minit ke-64 membantu Selangor mengekalkan rekod tanpa kalah persaingan bola sepak Liga Super 2007/2008 dengan menumpaskan Pulau Pinang 2-1, semalam.

Rembatan kaki kirinya yang tepat sambil berlari kencang sudah memadai untuk mencatat kemenangan sulung Red Giants di Stadium Shah Alam selepas empat perlawanan saja masuk menggantikan sayap kiri, Indra Putra Mahayuddin kurang seminit sebelum itu.

Malah, dia nyaris menambah gol Selangor sekiranya rembatan kaki kanan dalam masa kecederaan babak kedua perlawanan tidak terkena tiang gol Pulau Pinang.

Namun, igauan ngeri Selangor tiba-tiba muncul pada minit ke-53 apabila pemain gantian Pulau Pinang, S. Thiagaran melepaskan rembatan kaki kiri untuk menewaskan penjaga gol, Megat.

Selangor bagaimanapun cuma membenarkan gol pendahuluan lawan bertahan selama seminit apabila ketua pasukannya, Fadzli Saari merembat gol penyamaan dari jarak dekat hasil sepak bebas Frank Seator.

Minit ke-10 menyaksikan Selangor terlepas peluang keemasan untuk membuka jaringan selepas penyerang import dari Liberia, Seator gagal menyudahkan situasi satu sama satu ketika berdepan penjaga gol Penang, Faizal Yusuf.

Bola kawalan bekas pemain import Perak itu dengan pantas dikuis lawan biar pun sempat diperoleh semula sebelum disepak tinggi dari gawang pasukan pelawat.

Pada minit ke-16, Seator sekali lagi dikecewakan oleh Faizal, yang berjaya menumbuk keluar sepakan percumanya yang deras dari sebelah kanan di luar kotak penalti Pulau Pinang.

Pasukan pelawat bimbingan Mohamad Bakar sempat melakukan serangan balas dan cuba mengejutkan tuan rumah tetapi tolakan Azrul Ahmad masih dapat ditampan bek tuan rumah, Razman Roslan, dua minit kemudian.

Tolakan ke kiri gol Pulau Pinang pada minit ke-30 oleh pemain lincah Selangor, Mohd. Amri Yahyah juga tidak banyak merubah keadaan apabila sekadar tersasar beberapa inci.

Faizal pula terus menjadi batu penghalang Selangor apabila tumbukannya menyekat sepakan bebas dan percubaan jarak jauh oleh pemain tuan rumah, Shafiq Rahim dan Nasriq Baharom minit ke-32 dan 33.

BARISAN PEMAIN

SELANGOR: Megat Amir Faizal Al Khalidy Ibrahim, Razman Roslan, Ivan Chi Hulo, Frank Seator, R. Surendren, P. Gunalan, Mohd. Amri Yahyah, Fadzli Saari, Indra Putra Mahayuddin (Safie Sali), Nasriq Baharom, Shafiq Rahim

PULAU PINANG: Faizal Yusuf, Mat Saiful Mohamed, Suhaidi Akmal Md. Noor, M. Prakash, K. Puvinderan Naidu, Azrul Ahmad, Farizal Rozali, Zailani Jaafar, Farkhis Fisol (S. Thiagaran), Zulhisham Jamaluddin, Amir Shahreen Mubin.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4w3iFrQ5H
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 17 Oktober 2017

Selangor tetap yakin



ARKIB : 06/11/2007

KUALA LUMPUR – Selangor tidak sangsi untuk merealisasikan impian Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang mahukan skuad Merah Kuning membawa pulang sebarang kejuaraan musim ini.

Berbekalkan barisan muka lama dan baru selain kehadiran Indra Putra Mahayuddin serta kembalinya pemain sayap lincah, dari Indonesia, Ellie Aiboy, Selangor tampak lebih bertenaga musim ini.

Malah jurulatihnya, Dollah Salleh tidak sangsi dengan barisan Merah Kuning musim ini yang disifatkan paling mantap dan berwibawa untuk memastikan sama ada Piala Malaysia, Piala FA atau Piala Liga Super menjadi milik.

‘‘Saya begitu yakin dengan keupayaan pemain yang dipilih begitu juga kehadiran Indra Putra Mahayuddin serta Aiboy dan juga dua tonggak import yang masih di peringkat pemilihan.

‘‘Saya memang berhasrat untuk menunaikan hajat Presiden FAS jika tidak semua piala, sekurang-kurangnya satu piala bakal di bawa balik,’’ ujar Dollah.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis penyerahan jersi baru skuad Selangor yang diserahkan oleh penolong pengurus, Datuk Subahan Kamal kepada Mohamad Khir, kelmarin.

Menurut jurulatih itu, kegagalan selepas meraih tiga kejuaraan Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super pada 2005 dan dua musim tanpa gelaran menguatkan lagi keazaman untuk kejayaan manis kali ini.

Biarpun menyedari saingan sengit bakal dilalui oleh Selangor terutama juara tiga piala Kedah, Perlis dan Perak, Dollah mempunyai keyakinan tinggi ke atas keupayaan anak didiknya.

Kehadiran pemain kebangsaan dan bekas pemain Pahang, Indra Putra Mahayuddin kata Dollah, ia menguatkan lagi jentera serangan.

‘‘Jentera serangan tidak lagi merisaukan saya selain ada Indra kita ada Akmal Rizal Rakhli, Mohd. Safee Sali dan Mohd. Amri Yahyah.

‘‘Cuma sekarang dua pemain import akan diisi dan paling utama mencari pemain di bahagian pertahanan,’’ ujarnya lagi.

Menurut beliau, ketika ini tiga pemain import masing-masing dari Rusia, Afrika, Brazil dan Portugal sedang menjalani ujian pemilihan.

Ujarnya, beliau cuma tertarik dengan pemain dari Portugal dan pemain itu akan diuji pada sesi latihan Merah Kuning minggu ini.

Dollah tidak menolak kemungkinan pemain yang bermain di posisi pertahanan tengah dari Portugal akan menyarung jersi Selangor musim ini.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4vmLG7eg2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor pasang impian baru ulangi kegemilangan 2005



ARKIB : 05/11/2007

Oleh AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR – Dua tahun sepi tanpa sebarang gelaran selepas kejayaan manis mendakap tiga kejuaraan pada musim 2005, Selangor kini membulatkan tekad dalam kempen baru bermula 18 November ini dengan harapan ia tidak menghadirkan khabar mengecewakan buat tahun ketiga berturut-turut.

Tempoh dua tahun dilalui oleh gergasi bola sepak Selangor tanpa sebarang gelaran cukup memeritkan hingga tidak berupaya mengulangi pencapaian mendakap kejuaraan Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super yang dilakukan pada kempen 2005.

Namun kempen musim 2007/2008 Selangor mahu bangkit daripada dibelenggu kekecewaan dan bertekad ingin merampas piala yang kini dimiliki oleh Kedah.

Presiden Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Mohamad Khir Toyo mahu barisan pemain yang disifatkan paling mantap dan membawa semula tiga piala tersebut kembali ke pangkuan Selangor tahun depan.

Menurutnya, beliau tidak mahu skuad Merah Kuning hanya hebat pada pakaian atau publisiti di akhbar tetapi sebaliknya menuntut pemainnya membuktikan kehebatan sebenar di padang.

Mohamad Khir berkata, sudah tiba masanya pemain merealitikan impian untuk membawa pulang tiga piala yang pernah didakap oleh Selangor

‘‘Tahun depan saya mahu Selangor membawa balik kesemua piala tersebut yang pernah didakap oleh Perlis, Negeri Sembilan dan Kedah.

‘‘Dua tahun gagal sudah cukup dan inilah masanya Selangor perlu membuktikan keupayaan tidak hanya mereka (pemain) hebat dari segi pakaian atau publisiti.

‘‘Yang penting saya ingin melihat mereka hebat di padang,’’ ujar Mohamad Khir.

Beliau menyatakan demikan sewaktu berucap pada majlis pelancaran jersi baru Merah Kuning bagi menghadapi kempen Liga Super bermula 18 November ini pada Karnival dan Majlis Penyampaian Pertandingan Keceriaan Komuniti Bistari Negeri Selangor 2007 di Kuang dekat sini, semalam.

Kata-kata penuh bermakna disuarakan oleh Menteri Besar Selangor itu menjurus kepada barisan terbaik telah dipilih termasuk dengan kehadiran bekas pemain Pahang, Indra Putra Mahayuddin, Ellie Aiboy serta dua lagi import yang akan memenuhi kuota yang ditetapkan.

Malah Mohamad Khir turut menekankan betapa Selangor mampu bangkit merintis kejayaan gemilang 2005 jika pemain benar-benar berdisiplin.

‘‘Saya tidak mahu ada pemain ponteng latihan, lewat pergi ke padang menjalani latihan kerana apabila tidak berdisiplin susah untuk kita meraih kejayaan,’’ tegas Mohamad Khir.

Pada majlis tersebut barisan pemain baru Selangor bagi kempen 2006/07 telah diperkenalkan kepada Mohamad Khir.

Turut hadir penolong pengurus, Datuk Subahan Kamal, jurulatih Dollah Salleh dan Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd. Amin.

Selangor akan membuka kempen Liga Super musim ini menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada 18 November ini

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4vlMLO3Xq
© Utusan Melayu (M) Bhd