Selasa, 17 Oktober 2017

Selangor pasang impian baru ulangi kegemilangan 2005



ARKIB : 05/11/2007

Oleh AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR – Dua tahun sepi tanpa sebarang gelaran selepas kejayaan manis mendakap tiga kejuaraan pada musim 2005, Selangor kini membulatkan tekad dalam kempen baru bermula 18 November ini dengan harapan ia tidak menghadirkan khabar mengecewakan buat tahun ketiga berturut-turut.

Tempoh dua tahun dilalui oleh gergasi bola sepak Selangor tanpa sebarang gelaran cukup memeritkan hingga tidak berupaya mengulangi pencapaian mendakap kejuaraan Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super yang dilakukan pada kempen 2005.

Namun kempen musim 2007/2008 Selangor mahu bangkit daripada dibelenggu kekecewaan dan bertekad ingin merampas piala yang kini dimiliki oleh Kedah.

Presiden Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Mohamad Khir Toyo mahu barisan pemain yang disifatkan paling mantap dan membawa semula tiga piala tersebut kembali ke pangkuan Selangor tahun depan.

Menurutnya, beliau tidak mahu skuad Merah Kuning hanya hebat pada pakaian atau publisiti di akhbar tetapi sebaliknya menuntut pemainnya membuktikan kehebatan sebenar di padang.

Mohamad Khir berkata, sudah tiba masanya pemain merealitikan impian untuk membawa pulang tiga piala yang pernah didakap oleh Selangor

‘‘Tahun depan saya mahu Selangor membawa balik kesemua piala tersebut yang pernah didakap oleh Perlis, Negeri Sembilan dan Kedah.

‘‘Dua tahun gagal sudah cukup dan inilah masanya Selangor perlu membuktikan keupayaan tidak hanya mereka (pemain) hebat dari segi pakaian atau publisiti.

‘‘Yang penting saya ingin melihat mereka hebat di padang,’’ ujar Mohamad Khir.

Beliau menyatakan demikan sewaktu berucap pada majlis pelancaran jersi baru Merah Kuning bagi menghadapi kempen Liga Super bermula 18 November ini pada Karnival dan Majlis Penyampaian Pertandingan Keceriaan Komuniti Bistari Negeri Selangor 2007 di Kuang dekat sini, semalam.

Kata-kata penuh bermakna disuarakan oleh Menteri Besar Selangor itu menjurus kepada barisan terbaik telah dipilih termasuk dengan kehadiran bekas pemain Pahang, Indra Putra Mahayuddin, Ellie Aiboy serta dua lagi import yang akan memenuhi kuota yang ditetapkan.

Malah Mohamad Khir turut menekankan betapa Selangor mampu bangkit merintis kejayaan gemilang 2005 jika pemain benar-benar berdisiplin.

‘‘Saya tidak mahu ada pemain ponteng latihan, lewat pergi ke padang menjalani latihan kerana apabila tidak berdisiplin susah untuk kita meraih kejayaan,’’ tegas Mohamad Khir.

Pada majlis tersebut barisan pemain baru Selangor bagi kempen 2006/07 telah diperkenalkan kepada Mohamad Khir.

Turut hadir penolong pengurus, Datuk Subahan Kamal, jurulatih Dollah Salleh dan Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd. Amin.

Selangor akan membuka kempen Liga Super musim ini menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada 18 November ini

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4vlMLO3Xq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan