Selasa, 17 Oktober 2017

Selangor tetap yakin



ARKIB : 06/11/2007

KUALA LUMPUR – Selangor tidak sangsi untuk merealisasikan impian Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang mahukan skuad Merah Kuning membawa pulang sebarang kejuaraan musim ini.

Berbekalkan barisan muka lama dan baru selain kehadiran Indra Putra Mahayuddin serta kembalinya pemain sayap lincah, dari Indonesia, Ellie Aiboy, Selangor tampak lebih bertenaga musim ini.

Malah jurulatihnya, Dollah Salleh tidak sangsi dengan barisan Merah Kuning musim ini yang disifatkan paling mantap dan berwibawa untuk memastikan sama ada Piala Malaysia, Piala FA atau Piala Liga Super menjadi milik.

‘‘Saya begitu yakin dengan keupayaan pemain yang dipilih begitu juga kehadiran Indra Putra Mahayuddin serta Aiboy dan juga dua tonggak import yang masih di peringkat pemilihan.

‘‘Saya memang berhasrat untuk menunaikan hajat Presiden FAS jika tidak semua piala, sekurang-kurangnya satu piala bakal di bawa balik,’’ ujar Dollah.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis penyerahan jersi baru skuad Selangor yang diserahkan oleh penolong pengurus, Datuk Subahan Kamal kepada Mohamad Khir, kelmarin.

Menurut jurulatih itu, kegagalan selepas meraih tiga kejuaraan Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super pada 2005 dan dua musim tanpa gelaran menguatkan lagi keazaman untuk kejayaan manis kali ini.

Biarpun menyedari saingan sengit bakal dilalui oleh Selangor terutama juara tiga piala Kedah, Perlis dan Perak, Dollah mempunyai keyakinan tinggi ke atas keupayaan anak didiknya.

Kehadiran pemain kebangsaan dan bekas pemain Pahang, Indra Putra Mahayuddin kata Dollah, ia menguatkan lagi jentera serangan.

‘‘Jentera serangan tidak lagi merisaukan saya selain ada Indra kita ada Akmal Rizal Rakhli, Mohd. Safee Sali dan Mohd. Amri Yahyah.

‘‘Cuma sekarang dua pemain import akan diisi dan paling utama mencari pemain di bahagian pertahanan,’’ ujarnya lagi.

Menurut beliau, ketika ini tiga pemain import masing-masing dari Rusia, Afrika, Brazil dan Portugal sedang menjalani ujian pemilihan.

Ujarnya, beliau cuma tertarik dengan pemain dari Portugal dan pemain itu akan diuji pada sesi latihan Merah Kuning minggu ini.

Dollah tidak menolak kemungkinan pemain yang bermain di posisi pertahanan tengah dari Portugal akan menyarung jersi Selangor musim ini.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4vmLG7eg2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan