Selasa, 29 November 2016

Selangor rampas takhta Perdana Dua

ARKIB : 10/04/1999
Selangor rampas takhta Perdana Dua
SELANGOR merampas kembali takhta bola sepak Liga Perdana Dua apabila menumpaskan Negeri Sembilan Chempaka 4-2 di Stadium Shah Alam, semalam, berikutan kekalahan 0-1 Johor FC kepada pencabarnya.

Selangor membuka jaringan menerusi ketua pasukan, K. Sanbagamaran yang menerima hantaran silang S. Sivaram pada minit ke-13.

NS Chempaka mendapat peluang terbaik menyamakan kedudukan pada minit ke-22, namun tendangan Yusafizan Johar ditampan penjaga gol Selangor, Abdul Hadi Tahir.

Sebaliknya Selangor menambah jaringan menerusi Rusdi Suparman minit ke-24, sementara gol ketiga dan keempat oleh Lim Chan Yew dan Rusdie Ramli pada minit ke-52 dan 73.

Yusafizan bagaimanapun menceriakan sedikit pasukan pelawat dengan jaringan pertama pada minit ke-34 dan gol kedua menerusi Mohd. Rizal Harun pada minit ke-61.

Kemenangan itu menjadikan Selangor pasukan tunggal yang tidak pernah tumpas dalam saingan Perdana Dua.

Mereka mencatat tiga kemenangan dan tiga seri daripada enam perlawanan.

Sementara di Stadium Utama, Kangar Perlis menafikan hajat Johor FC untuk kekal di takhta liga dengan kemenangan tipis 1-0.

Perlis, yang melonjak satu anak tangga daripada kedudukan keempat memperoleh gol tunggal kemenangan menerusi M. Ballan pada minit ke-62.

Ini merupakan kekalahan sulung diterima Johor FC, yang kini jatuh satu anak tangga dengan empat kemenangan daripada enam perlawanan dan kekal 13 mata - satu mata di belakang Selangor.

Rekod tanpa kalah Kelantan turut lebur di Stadium Kubu apabila skuad Pantai Timur itu kecundang 2-0 kepada tuan rumah, Melaka.

Walaupun beraksi dengan berbekalkan dua kekalahan berturut-turut, Melaka berjaya bangkit untuk mengutip tiga mata penuh.

Jaringan kemenangan tuan rumah dihasilkan oleh Sri Jaafar pada minit ke-56 dan tendangan penalti Musa Talib, 25 minit sebelum permainan tamat.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohamed ke-IV, Johor mengalami kekalahan ketiga apabila tunduk 1-4 kepada TNB Kelantan.

Ruslan Ismail dan Md. Khairul Anuar muncul wira tuan rumah, apabila masing-masing menjaringkan dua gol pada minit ke-35, 37 dan 83, 97.

Johor memperoleh gol sagu hati menerusi bekas penyerang kebangsaan, Hashim Mustapha pada minit ke-43.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RSs5Z6aj © Utusan Melayu (M) Bhd

Misi Selangor kuasai takhta Perdana Dua

ARKIB : 05/04/1999
TIADA misi besar buat Selangor ketika ini selain kembali menguasai takhta bola sepak Liga Perdana Dua bagi menambat semula keyakinan para penyokong Merah Kuning selepas hanya seketika menguasai tangga teratas liga, minggu lalu, lapor JOHARI SHAWAL.

Untuk itu, skuad Red Giants bimbingan jurulatih Mike Pejic itu harus mengutip tiga mata penuh apabila turun menentang Telekom Melaka di Stadium Kubu, malam ini.

Biarpun beraksi di gelanggang lawan, kemenangan perlu dicari Selangor untuk kembali di atas dan mungkin dalam masa yang sama mengharapkan dua pasukan teratas, Johor FC dan Melaka kecundang.

Namun, tugas itu bukan mudah kerana Selangor kini menghadapi masalah prestasi pemain yang turun naik.

Hakikat itu diakui pengurus pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad yang jelas risau dengan prestasi anak-anak buahnya ketika ini.

''Memang saya tidak nafikan prestasi atau form pemain Selangor ketika ini turun naik.

''Begitulah yang terjadi ketika kita menang besar 6-1 ke atas Melaka tetapi seri pula dengan Perlis minggu lalu sebelum kalah penalti... sekali gus kita terlepas peluang mengekalkan kedudukan pendahulu liga.

''Apa pun, kemenangan ke atas Telekom Melaka penting buat Selangor. Pemain juga memahami situasi ini dan saya pasti Selangor bakal kembali menggegar,'' katanya, semalam.

Dalam aksi di Kangar Jumaat lalu, Selangor hampir pasti membawa pulang tiga mata apabila mendahului 3-1 tetapi kelekaan pada lewat permainan menyaksikan Perlis mengambil kesempatan menyamakan kedudukan dan memaksa sepakan penalti yang kemudian memihak kepada skuad Singa Utara.

Kegagalan pasukan Merah Kuning itu sekali gus memberi ruang buat Johor FC merampas tangga teratas Perdana Dua yang hanya dipisahkan dengan dua dengan Selangor.

Selangor kini di tangga ketiga liga di belakang Johor FC dan Melaka dengan lapan mata daripada empat perlawanan.

Pertemuan dengan Telekom Melaka kata Mokhtar, biarpun Selangor turun dengan misi merampas tiga mata penuh, pasukan harus berhati-hati kerana skuad juara Piala FAM itu masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas juara Piala FA, Johor di gelanggang lawan, Sabtu lalu.

''Mereka pasti tambah bersemangat untuk terus mencari kemenangan dan Selangor harus berwaspada... apalagi beraksi di tempat sendiri,'' katanya.


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=SukERan&pg=sp_03.htm#ixzz4RS5vjD94 © Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor rampas takhta liga Perdanan Dua

ARKIB : 27/03/1999
PEMAIN Selangor, Ahmad Fairuz Yunus (kiri) tetap teguh mengawal bola biarpun seorang pemain pertahanan Melaka menerjahnya pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Shah Alam, semalam. Selangor menang 6-1.

KEHADIRAN Rusdi Suparman membawa tuah kepada selangor apabila tiga jaringannya membantu tuan rumah menumpaskan pendahulu liga Perdana Dua, Melaka 6-1 di Stadium Shah Alam, semalam.

Selangor meraih kemenangan pertama dalam masa penuh permainan, apabila dua perlawanan terdahulu berkesudahan seri, tetapi mereka menang menerusi penalti.

Selangor nyata menguasai permainan dan Rusdi mendapat kesempatan terbaik apabila menolak masuk bola pada minit ke-37.

Usaha-usaha yang dilakukan pasukan pelawat gagal memecah kebuntuan dan membenarkan Selangor mendahului 1-0 sehingga tamat babak pertama.

Sebaik bermula babak kedua, Selangor kembali garang dengan Rusdi sekali lagi membantu Merah Kuning mendapatkan gol kedua, apabila tendangannya ditampan masuk pemain lawan, Mohd. Hussein Sheikh Abdul Kadir pada minit ke-47.

Seminit kemudian, Rusdi menjadikan kedudukan 3-0 apabila membuat larian solo, sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan dan dia melengkapkan hatrik pada minit ke-50 untuk gol keempat tuan rumah.

Kehadiran Nazzab Hidzan turut membantu menguatkan pasukan Selangor, apabila dia menghasilkan gol kelima Selangor pada minit ke-58, hasil bantuan ketua pasukan, Rusdi.

Bekas pemain kebangsaan dan pemain veteran, Zainal Abidin Hassan melengkapkan kemenangan Selangor apabila menjaringkan gol keenam pada minit terakhir permainan.

Gol sagu hati Melaka diperoleh menerusi Rashid Mahmood pada minit ke-76. Johor FC pula terus cemerlang apabila menewaskan Tentera 2-1 untuk meraih tiga mata penuh pada perlawanan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.

Gol pertama Johor FC dijaringkan oleh Ahmad Norhapiza Bashri menerusi tendangan penalti pada minit ke-48.

Pemain tuan rumah, S. Karthigesan dijatuhkan oleh pertahanan pasukan pelawat, Wong Sai Keng dalam kotak penalti.

Shamsul Sulaiman menambah jaringan pasukan tuan rumah pada minit ke-55, apabila menyempurnakan hantaran Shahrul Ismail.

Tentera hampir merapatkan jurang gol pada minit ke-70, apabila pemain mereka, S. Ragu melepaskan rembatan dari jarak 30 meter, tetapi berjaya ditangkap penjaga gol tuan rumah, Shamsul Sabtu.

Usaha keras Tentera bagaimanapun membuahkan hasil, apabila mereka berjaya menemui gol tunggal pada minit ke-88 menerusi Saifullah Hashim.

Perlis yang tumpas kepada Melaka, Isnin lalu, bangkit mendadak apabila menewaskan satu lagi wakil negeri Hang Tuah, Telekom Melaka 4-1 di Stadium Kubu, Melaka.

Gemilang Perlis itu diukir oleh ketua pasukannya, Yusri Che Lah dengan jaringan hatrik selain satu gol sumbangan V. Yogeswaran.

Yogeswaran menghadiahkan jaringan pertama perlawanan untuk Perlis seawal minit ketiga.

Tuan rumah bersemangat untuk mencari penyamaan sayangnya tendangan cantik Mohd. Hardi Jaafar pada minit ke-15 terkena palang gol.

Peluang kedua Telekom muncul empat minit kemudian namun disia-siakan oleh Norhisham Saleh ketika berdepan satu sama satu dengan penjaga gol Perlis, Rosman Hussin.

Dalam keghairahan tuan rumah itu, Perlis pula menambah gol kedua dengan jaringan Yusri setelah menerima hantaran Fuad Mat Nor, minit ke-23.

Bagaimanapun, Telekom menerusi asakan menggila, beroleh gol tunggalnya sumbangan V. Sellathurai pada minit ke-56.

Namun kegembiraan penyokong Telekom tidak kekal lama apabila pelawat menambah gol ketiga minit ke-66 hasil tendangan pantas Yusri.

Yusri melengkapkan hatrik pada minit ke-82 apabila tendangannya berjaya melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Abdul Wahab.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru, Kelantan menang melalui sepakan penalti 3-2 setelah seri 1-1 dengan Johor dalam masa permainan sebenar.

Gol tuan rumah diperoleh menerusi Tan Cheng Hoe pada minit ke-34 manakala Hashim Mustapha menyumbat gol penyamaan pada minit ke-56 untuk Johor.

Cheng Hoe, Yusrisham Yusoff dan Yew Choh Hooi menyudahkan penentuan penalti untuk Kelantan dan lawan membalas dengan Liew Kim Tu dan Hashim sekali lagi.

NS Chempaka meraih kemenangan sulung pada perlawanan Perdana Dua, apabila menang besar 5-0 ke atas TNB Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, semalam.

Pasukan tuan rumah mendahului 3-0 pada separuh akhir mata pertama, menerusi Chia Ah Bee di minit ke-11, Mohd. Khaidir Md. Dom (21) dan Yusarman Yusof (35).

Mohd. Khaidir menjadikan kedudukan 4-0 pada minit 63, sebelum Roslan Zakaria menambah sengsara pasukan pelawat apabila menyumbat gol sendiri pada minit ke-78

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ROKh4DwQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 27 November 2016

Liga Perdana Dua: Selangor terselamat

ARKIB : 24/03/1999
BEKAS juara Piala Malaysia, Selangor terselamat daripada diaibkan oleh TNB Kelantan apabila meraih kemenangan 5-4 menerusi tendangan penalti pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Sultan Mohamaed ke-IV, Kota Bharu, semalam.

Kedua-dua pasukan sekadar mampu menghasilkan keputusan seri 1-1 dalam 90 minit permainan sehingga memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Begitupun, pasukan tuan rumah TNB Kelantan dikejutkan menerusi jaringan pendahuluan pada minit ke-36 oleh S. Sivaram dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama permainan.

Strategi mengasak pantas yang digunakan oleh TNB Kelantan bagaimanapun membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan selepas seminit babak kedua bermula.

Jaringan penyamaan Tuan Ismail Tuan Ibrahim di minit ke-46 cukup melegakan skuad tuan rumah yang terus memperkuhkan jentera pertahanan.

Kedudukan seri 1-1 itu kekal sehingga tamat permainan dan penentuan menerusi penalti akhirnya menjadi milik Selangor yang lima kali membolosi gawang TNB Kelantan, berbanding pasukan tuan rumah itu dengan hanya empat gol.

Gol penalti Selangor dijaringkan oleh Shamsul Amri Abu Bakar, K. Sanbagamaran, Zainal Abidin Hassan, Assroff Mohd. Hanafiah dan Kamarulzaman Majid.

Manakala empat gol TNB Kelantan pula disumbat masuk oleh Ruzlan Ismail, Saidi Mamat, Ahmad Faisal Othman dan Hamdi Ibrahim.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4RCEgky2X © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 8 November 2016

Pasukan Bolasepak Selangor 2005.

oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Jurulatih: Dollah Salleh

Pemain: Jamsari Sabian, Shahrizan Ismail, Razman Roslan, Thamimi Saiban, Aiman Firdaus Tan, Azlisham Ibrahim, Fairuz Montana Zainal Abidin, P.Gunalan, Amri Yahyah, Fadhil Hashim, Haris Safwan Kamal, Irme Mat, Saiful Nizam Hussin, Khalid Jamlus, Shukor Adan, Nazrulerwan Makmor, Nazzab Hidzan, Norhisham Kamarudin, K.Sanbagamaran, S.Sivaram. D.Surendran, Bambang Pamungkas, Elie Aboy, Brian Fuentes

Ahad, 6 November 2016

Selangor mahu ikat Pohang Steelers di Pusan

ARKIB : 03/11/1998
SELANGOR tidak menaruh harapan tinggi untuk menang sebaliknya mengharapkan keputusan seri apabila bertemu penyandang juara, Pohang Steelers dari Korea Selatan pada pertemuan pertama pusingan kedua Kejohanan Bola Sepak Kelab-Kelab Asia di Pusan, petang esok.

AMRAN MULUP melaporkan, Selangor yang berlepas ke Korea Selatan petang kelmarin sekadar mengharapkan nasib agar tidak menjadi mangsa berpesta gol di Stadium Pohang di Pusan.

Jika ini terjadi pastinya tugas lebih sulit apabila menjadi tuan rumah untuk mengharungi perlawanan pusingan kedua di Stadium Shah Alam, 28 November ini.

Keresahan Selangor terus terbayang ekoran kecederaan yang menimpa pemain tengah Alexander Freeman dan tonggak pertahanan, Mehmet Durakovic.

Menurut pengurus pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad Selangor turun berdepan Pohang dengan corak permainan bertahan.

Katanya, Selangor tidak ada pilihan berdepan dengan Pohang cuba sedaya upaya untuk mengelak daripada mengalami kekalahan teruk.

''Untuk menang ke atas lawan adalah tugas sukar. Mereka pasukan pilihan selaku penyandang juara segalanya menjadi milik mereka.

''Selangor akan cuba untuk mengelak daripada tewas teruk atau sekurang-kurangnya bermain untuk seri. Kita akan gunakan segenap tenaga apabila bermain di Stadium Shah Alam pada pusingan kedua nanti,'' kata Mokhtar.

Pohang layak ke pusingan kedua selepas mudah mengetepikan Saigon Port dari Vietnam menerusi agregat 6-0.

Pada perlawanan pertama Pohang menang 2-0 di Pusan sebelum membelasah lawan 4-0 di Vietnam.

Beliau mengakui barisan yang mengetepikan Angkatan Tentera Singapura yang dipimpin pemain berpengalaman, Fandi Ahmad pada perlawanan pusingan pertama tidak dapat diturunkan tanpa khidmat Freeman dan Mehmet.

''Kecederaan Freeman begitu serius dan dia diketepikan terus manakala Mehmet pula dijangka pulih untuk berdepan dengan Pohang pada perlawanan pusingan kedua nanti,'' katanya.

Begitupun menurut Mokhtar, pemain Selangor berazam beraksi cemerlang selain mahu melakukan kejutan ke atas Pohang untuk layak ke suku akhir buat pertama kali.

Keinginan tinggi pemain Merah Kuning buat menebus kehampaan selepas tersingkir ke Piala Malaysia selain Selangor bakal beraksi di Perdana Dua musim depan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4PDFwrguB © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 1 November 2016

Selangor layak

ARKIB : 04/10/1998
Selangor layak
SELANGOR yang gagal beraksi dalam Piala Malaysia tewas 0-1 kepada pasukan Tentera Singapura pada perlawanan ulangan pusingan pertama bola sepak Kejohanan Antara Kelab Asia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Bagaimanapun keputusan itu tidak menjejaskan kemaraan skuad Merah Kuning ke pusingan kedua apabila layak dengan agregat 4-2 selepas menang 4-1 pada pertemuan pertama di Singapura, 19 September lalu.

Gol tunggal pasukan pelawat dari seberang Tambak Johor itu dijaringkan oleh S. Selavaraj pada minit ke-82.

Dengan kemenangan itu Selangor akan bertemu pasukan penyandang juara, Pohang Steelers dari Korea Selatan.

Perlawanan pertama pusingan kedua itu dijadualkan berlangsung pada 11 November sebelum pertemuan kedua pada 28 November.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4Okkpb1zL © Utusan Melayu (M) Bhd