Ahad, 6 November 2016

Selangor mahu ikat Pohang Steelers di Pusan

ARKIB : 03/11/1998
SELANGOR tidak menaruh harapan tinggi untuk menang sebaliknya mengharapkan keputusan seri apabila bertemu penyandang juara, Pohang Steelers dari Korea Selatan pada pertemuan pertama pusingan kedua Kejohanan Bola Sepak Kelab-Kelab Asia di Pusan, petang esok.

AMRAN MULUP melaporkan, Selangor yang berlepas ke Korea Selatan petang kelmarin sekadar mengharapkan nasib agar tidak menjadi mangsa berpesta gol di Stadium Pohang di Pusan.

Jika ini terjadi pastinya tugas lebih sulit apabila menjadi tuan rumah untuk mengharungi perlawanan pusingan kedua di Stadium Shah Alam, 28 November ini.

Keresahan Selangor terus terbayang ekoran kecederaan yang menimpa pemain tengah Alexander Freeman dan tonggak pertahanan, Mehmet Durakovic.

Menurut pengurus pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad Selangor turun berdepan Pohang dengan corak permainan bertahan.

Katanya, Selangor tidak ada pilihan berdepan dengan Pohang cuba sedaya upaya untuk mengelak daripada mengalami kekalahan teruk.

''Untuk menang ke atas lawan adalah tugas sukar. Mereka pasukan pilihan selaku penyandang juara segalanya menjadi milik mereka.

''Selangor akan cuba untuk mengelak daripada tewas teruk atau sekurang-kurangnya bermain untuk seri. Kita akan gunakan segenap tenaga apabila bermain di Stadium Shah Alam pada pusingan kedua nanti,'' kata Mokhtar.

Pohang layak ke pusingan kedua selepas mudah mengetepikan Saigon Port dari Vietnam menerusi agregat 6-0.

Pada perlawanan pertama Pohang menang 2-0 di Pusan sebelum membelasah lawan 4-0 di Vietnam.

Beliau mengakui barisan yang mengetepikan Angkatan Tentera Singapura yang dipimpin pemain berpengalaman, Fandi Ahmad pada perlawanan pusingan pertama tidak dapat diturunkan tanpa khidmat Freeman dan Mehmet.

''Kecederaan Freeman begitu serius dan dia diketepikan terus manakala Mehmet pula dijangka pulih untuk berdepan dengan Pohang pada perlawanan pusingan kedua nanti,'' katanya.

Begitupun menurut Mokhtar, pemain Selangor berazam beraksi cemerlang selain mahu melakukan kejutan ke atas Pohang untuk layak ke suku akhir buat pertama kali.

Keinginan tinggi pemain Merah Kuning buat menebus kehampaan selepas tersingkir ke Piala Malaysia selain Selangor bakal beraksi di Perdana Dua musim depan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4PDFwrguB © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan