ARKIB : 05/04/1999
TIADA misi besar buat Selangor
ketika ini selain kembali menguasai takhta bola sepak Liga Perdana Dua bagi
menambat semula keyakinan para penyokong Merah Kuning selepas hanya seketika
menguasai tangga teratas liga, minggu lalu, lapor JOHARI SHAWAL.
Untuk itu, skuad Red Giants
bimbingan jurulatih Mike Pejic itu harus mengutip tiga mata penuh apabila turun
menentang Telekom Melaka di Stadium Kubu, malam ini.
Biarpun beraksi di gelanggang
lawan, kemenangan perlu dicari Selangor untuk kembali di atas dan mungkin dalam
masa yang sama mengharapkan dua pasukan teratas, Johor FC dan Melaka kecundang.
Namun, tugas itu bukan mudah
kerana Selangor kini menghadapi masalah prestasi pemain yang turun naik.
Hakikat itu diakui pengurus
pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad yang jelas risau dengan prestasi anak-anak buahnya
ketika ini.
''Memang saya tidak nafikan
prestasi atau form pemain Selangor ketika ini turun naik.
''Begitulah yang terjadi ketika
kita menang besar 6-1 ke atas Melaka tetapi seri pula dengan Perlis minggu lalu
sebelum kalah penalti... sekali gus kita terlepas peluang mengekalkan kedudukan
pendahulu liga.
''Apa pun, kemenangan ke atas
Telekom Melaka penting buat Selangor. Pemain juga memahami situasi ini dan saya
pasti Selangor bakal kembali menggegar,'' katanya, semalam.
Dalam aksi di Kangar Jumaat
lalu, Selangor hampir pasti membawa pulang tiga mata apabila mendahului 3-1
tetapi kelekaan pada lewat permainan menyaksikan Perlis mengambil kesempatan
menyamakan kedudukan dan memaksa sepakan penalti yang kemudian memihak kepada
skuad Singa Utara.
Kegagalan pasukan Merah Kuning
itu sekali gus memberi ruang buat Johor FC merampas tangga teratas Perdana Dua
yang hanya dipisahkan dengan dua dengan Selangor.
Selangor kini di tangga ketiga
liga di belakang Johor FC dan Melaka dengan lapan mata daripada empat
perlawanan.
Pertemuan dengan Telekom Melaka
kata Mokhtar, biarpun Selangor turun dengan misi merampas tiga mata penuh,
pasukan harus berhati-hati kerana skuad juara Piala FAM itu masih segar dengan
kemenangan 2-0 ke atas juara Piala FA, Johor di gelanggang lawan, Sabtu lalu.
''Mereka pasti tambah
bersemangat untuk terus mencari kemenangan dan Selangor harus berwaspada...
apalagi beraksi di tempat sendiri,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=SukERan&pg=sp_03.htm#ixzz4RS5vjD94
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan