Jumaat, 29 Julai 2016

Impian Sarawak akhirnya tercapai

ARKIB : 05/04/1998 
ELAK... Penyerang Negeri Sembilan Scott Olleranshaw (kanan) diasak oleh pertahanan Pulau Pinang Mohd. Zaidi Mail pada perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban malam tadi. Pulau Pinang menang 3-0.

JUARA liga, Sarawak mencatat permulaan cemerlang apabila melenyapkan cabaran Selangor 3-1 pada perlawanan pembuka tirai Liga Perdana Satu merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sarawak, malam tadi.

Dua gol jaringan Ramos Sari pada minit ke-19 dan 25 dan satu gol menerusi Alistair Edwards minit ke-29 sudah memadai bagi skuad Bumi Kenyalang untuk menjuarai perlawanan Sumbangsih, sekali gus merebut tiga mata penuh bagi Perdana Satu.

Sementara gol tunggal Selangor diperoleh melalui rembatan kencang Azman Adnan minit ke-21 hasil umpanan cemerlang Mohd. Rizal Hassan.

Sarawak pernah beraksi pada perlawanan pembuka tirai liga musim 1993 tetapi kecundang 1-5 kepada Pahang.

Bermain di atas padang licin dan disaksikan kira-kira 15,000 penonton, kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan yang berhati-hati dan sesekali menggugat benteng lawan.

Bagaimanapun, anak-anak buah Alan Vest lebih pantas membuat ancaman apabila Bobby Pian membuat tendangan liar seawal minit pertama perlawanan.

Hujan yang turun dengan lebat tidak sedikitpun melonggarkan serangan Sarawak yang bertali arus apabila percubaan Ramos Sari dan Mohd. Ali Sapiee minit kelima dan keenam meresahkan kubu pertahanan Merah Kuning.

Keadaan cemas itu memaksa pemain-pemain Selangor bertahan dan ada ketikanya corak permainan yang dihidangkan kelihatan bercelaru.

Namun begitu, selaku juara Piala Malaysia sebanyak 28 kali, Selangor tidak mudah gelabah dan tenang mengatur serangan.

Sambil dibantu Zainal Abidin Hassan di barisan pertahanan, jentera Selangor gigih melakarkan percubaan tetapi gagal melakukan penyudah yang tepat.

Aizal Lamin mempunyai peluang terbaik minit ke-13 untuk membocori pintu gol Sarawak tetapi tendangannya tepat ke dakapan penjaga gol, Mazlan Wahid.

Seminit selepas itu, Azman turut mempunyai kesempatan terbuka tetapi rembatannya melencong dari sasaran.

Bermain di kandang sendiri, Sarawak terus bergaya melakukan tindak balas dan Mohd. Ali Sapiee hampir memalit malu buat Selangor minit ke-18.

Saingan bertambah rancak dan kedua-dua pasukan saling memburu jaringan.

Minit ke-33 menyaksikan pemain Kenyalang, Ahmad Fairus dibuang padang oleh pengadil, Mohd. NazriAbdullah kerana mengasari Alexander Freeman.

Namun begitu, berjuang dengan 10 pemain tidak mematahkan semangat kental Sarawak untuk terus mengancam kekebalan Selangor.

Sebaik saja babak kedua perlawanan dimulakan, Sarawak terus mengasak ke kubu lawan dan percubaan ketua pasukan, Billy Bone minit ke-54 dan 56 gagal menambah koleksi jaringan buat Bujang Senang.

Perjuangan Selangor untuk memburu jaringan, sekurang-kurangnya untuk menyamakan kedudukan, sudah terlambat apabila wisel penamat dibunyikan.

SARAWAK: Mazlan Wahid, Ahmad Fairuz Yunus, Dahalan Matussin, Roslan Ismail, Mohd. Ali Sapiee, Bobby Pian, Ibrahim Mantali, Ramos Sari (Ramles Sari), Billy Bone (Ketua), Doug Ithier, Alistair Edwards.

SELANGOR: Abdul Hadi Tahir, Zainal Abidin Hassan, Aizal Lamin, Jeff Hopkins, Asroff Hanafiah, Alexander Freeman, Mehmet Durakovic, Nazzab Hidzam (Azmi Aziz), Shahril Arsat (Rusdi Suparman), Mohd. Rizal Mohd. Hassan, Azman Adnan.

PENGADIL : Mohd. Nazri Abdullah.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FrXbFllX © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 26 Julai 2016

TERKINI PERLAWANAN LIGA SUPER 26.7.2018

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
JDT     1 – 0    Kelantan
Selangor          1 – 2    Felda United
Pulau Pinang   3 – 1    Kedah
Pahang FC      1 – 2    Perak
T-Team            1 – 2    Sarawak



Selangor, NS sah sertai 4 penjuru

ARKIB : 17/02/1998
SELANGOR dan Negeri Sembilan telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan bola sepak empat penjuru yang akan berlangsung 2 hingga 7 Mac ini, di Singapura.

Kejohanan yang dianjurkan oleh sebuah kelab bola sepak di republik tersebut, Balestier Central menawarkan hadiah bernilai lebih RM20,000.

Kehadiran juara Piala Malaysia itu bersama-sama skuad Rusa dijangka akan dapat mengubat kerinduan peminat-peminat bola sepak Singapura yang sudah lama tidak melihat aksi-aksi pasukan dari Malaysia.

Selangor dikatakan sudah mengesahkan akan menghantar pasukan terbaik bagi menyertai kejohanan itu yang akan turut disertai oleh sebuah lagi kelab dalam Liga-S (Singapura), Tiong Bahru.

Manakala Negeri Sembilan pula dilaporkan akan menyenaraikan bekas penyerang Sabah, Scott Olerenshaw dalam kejohanan itu yang dianggap oleh Kelab Balestier Central sebagai 'tirai pemanas' bagi Liga S dan Liga Malaysia yang akan bermula April ini.

Bagi peminat bola sepak Singapura, Selangor bukanlah pasukan asing bagi mereka apatah lagi dengan dibimbing oleh Steve Wicks yang pernah berkhidmat dengan sebuah kelab di negara itu, Woodlands Wellington pada tahun 1996.

Bagaimanapun pada masa ini pihak penganjur masih belum lagi menentukan gelanggang kejohanan itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4FVtrKQeO © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 25 Julai 2016

Gunalan tidak akan diambil semula - FAS


 

ARKIB : 02/02/1998
Gunalan tidak akan diambil semula - FAS
K. GUNALAN

SELANGOR sama sekali tidak berminat untuk menawarkan tempat kepada bekas pemain pertahanannya, K.Gunalan bagi kembali menyarung jersi skuad itu menghadapi kempen musim ini, AMRAN MULUP melaporkan.

Sebaliknya keputusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menamatkan kontraknya awal Januari ini adalah muktamad.

Biarpun FAS menamatkan kontraknya ketika masih berbaki hingga hujung tahun ini, tetapi keputusan itu telah dipersetujui oleh Gunalan.

Malah FAS turut menafikan tohmahan persatuan itu tidak profesional ketika mengambil keputusan menamatkan kontrak Gunalan yang masih berbaki setahun itu.

Menurut Setiausaha Agungnya, Hamidin Mohd. Amin keputusan untuk menamatkan kontrak bekas pemain kebangsaan itu adalah hasil keputusan kolektif majlis FAS selepas mengambil kira banyak perkara.

''FAS tahu dia masih mempunyai kontrak dan tindakan kita pula tidak sama sekali membelakangkan peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

''Kita tahu sebarang tindakan yang dilakukan sudah diketahui awal oleh Gunalan,'' jelas Hamidin.

Tambahnya lagi, kedua-dua belah pihak telah mencapai persetujuan berhubung perkara itu.

Mengikut peraturan FAM, mana-mana pemain yang masih mempunyai kontrak tetapi ditamatkan serta merta, pihak persatuan terpaksa membayar pampasan yang dipersetujui kedua-dua belah pihak.

''FAS sudah memberitahu Gunalan, jika dia tidak menerima sebarang tawaran dari pasukan lain selepas kontraknya ditamatkan, FAS akan membayar pampasan yang akan dibincangkan.

''Di sini tidak timbul soal adanya sikap tidak profesional FAS dalam mengendalikan kes Gunalan. Dalam minggu ini FAS akan mengadakan pertemuan dengan Gunalan bagi membincangkan pampasan tersebut,'' ujar Hamidin.

Jelasnya lagi, kes Gunalan dijangka akan berakhir di meja rundingan.

Sebelum itu, Gunalan telah mengemukakan surat aduan kepada FAS berhubung tindakan menamatkan kontraknya yang masih berbaki hingga hujung Disember 1998.

Antara isi kandungan surat itu, Gunalan melahirkan rasa terkejut dengan tindakan pengurusan Selangor menyingkirkan dia dianggap sudah terlewat.

Dalam perkembangan lain, FAS masih menunggu tarikh yang masih belum ditetapkan oleh FAM mengenai tribunal berhubung kes Azman Adnan yang dibangkitkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

''Setakat ini belum ada sebarang berita berhubung tribunal tersebut tetapi saya difahamkan kemungkinan dalam minggu ini,'' jelasnya.

Dalam pada itu, ahli jawatankuasa Semi-Pro Selangor, Ahmad Redza Abdullah dilantik mewakili FAS untuk menghadapi tribunal FAM nanti.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FUWoxW2q © Utusan Melayu (M) Bhd

Hopkins yakin kekuatan Selangor

ARKIB : 02/02/1998
JEFF Hopkins yakin Selangor mampu terus mempamerkan kecemerlangan pada Kejohanan Bola sepak Liga Malaysia musim ini.

Menurut Hopkins, sekalipun Selangor menampilkan ramai muka baru musim ini, situasi ini tidak menjejaskan kemantapan yang dilalui musim lalu.

''Musim lalu ditempoh dengan penuh gemilang. Itulah saat yang paling membanggakan buat saya ketika menjulang Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Piala FA.

''Musim ini juga saya tetap mengharapkan kejayaan itu dapat dikekalkan biarpun penampilan kali ini melihat Selangor tanpa beberapa muka lama,'' kata Hopkins ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, penampilan muka baru kali ini seharusnya dipandang positif.

Malah beliau tetap yakin gandingan muka baru dengan beberapa pemain berpengalaman mampu menyuntik kekuatan yang seimbang dengan skuad musim lalu.

''Kita seharusnya perlu mengenengahkan pemain muda dan tidak terlalu bergantung kepada pemain berpengalaman,'' katanya.

Jelasnya kecemerlangan Abdul Hadi Tahir, Nazzab Hidzan, Mohd. Rizal Hasan dan Aizal Lamin membuktikan barisan baru kali ini juga mampu mengikut jejak langkah itu.

''Saya yakin barisan yang disenarai kali ini adalah yang terbaik. Inilah satu-satunya peluang pemain mudah mendapat pendedahan,'' katanya.

Dia juga tidak menolak ketiadaan Shahrin Majid, Yap Kam Choon, Ismail Ibrahim, Abdul Talib Sulaiman, Mubin Mokhtar, Annuar Abu Bakar dan K. Gunalan sedikit menjejaskan kemantapan Merah Kuning.

Namun buat Hopkins ketiadaan Christopher Kiwomya lebih dirasakan.

''Dia seorang pemain yang hebat dan saya faham keputusan Selangor tidak menawarkan kontrak kepadanya. Cuma sekarang kita perlu mendapatkan pemain sehebatnya agar dapat digandingkan dengan Azman,'' kata pemain itu yang kontraknya dilanjutkan untuk musim kedua.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FR6ciM00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Peristiwa '97 tidak berulang

ARKIB : 21/01/1998
SELEPAS mengharungi kemalapan musim lalu, penyerang muda Selangor, Rusdi Suparman mahu tahun 1998 bakal memihak kepadanya untuk kembali mendapat tempat utama bergandingan dengan Azman Adnan di bahagian serangan, lapor AMRAN MULUP.

Ketiadaan Christopher Kiwomya yang muncul hero menjaringkan gol kemenangan Selangor menewaskan Pahang 1-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 20 Disember lalu, kembali membuka ruang kepada Rusdi untuk mendapat kepercayaan bergandingan dengan Azman.

''Musim lalu tidak ada ruang untuk saya beraksi dalam kesebelasan utama. Saya akui gandingan Azman-Kiwomya cukup mantap tetapi dengan ketiadaannya musim ini memberikan peluang kepada saya untuk mengisi kekosongan itu,'' ujar Rusdi.

Musim lalu bekas penyerang skuad Olimpik di bawah jurulatih Claude Le Roy pada 1995 itu lebih banyak memanaskan tempat dibangku simpanan dan hanya diturunkan sebagai super-sub.

Persembahan cemerlang menerusi gandingan Azman-Kiwomya ketika itu berada pada kombinasi terbaik musim lalu, sekali gus menyukarkan jurulatih Steve Wicks memberikan peluang kepadanya berada dalam kesebelasan utama.

''Yang penting, saya perlu buktikan kewibawaan sebenar diri saya untuk mengisi kekosongan itu. Memang sudah lama saya idamkan aksi bergandingan dengan Azman.

''Jika diberi peluang saya mampu menyempurnakan tugas yang diamanatkan,'' jelas Rusdi lagi.

Beliau menyifatkan peluangnya kali ini tampak lebih cerah selain tanpa Kiwomya, ketiadaan pemain lincah Shahrin Majid yang tidak ditawarkan kontrak selain Annuar Abu Bakar memilih untuk memutuskan ikatan kontrak musim ini.

Kini dia hanya akan bersaing penjaring terbanyak skuad Piala Presiden, Hairil Zamri Rashid bagi menentukan gandingan dengan Azman di bahagian serangan.

''Saya tidak boleh ambil mudah walaupun kurang saingan kali ini kerana ini adalah kesempatan terbaik yang perlu saya ambil,'' katanya.

Hanya pada kempen musim 1996 mencetuskan saat paling gemilang kepada Rusdi yang seringkali mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Malah Rusdi tidak sabar menanti latihan pra-musim yang akan bermula 7 Februari ini.

Ketika ditanya mengenai pihak pengurusan baru mengambil alih teraju musim ini, Rusdi menyifatkan keutuhan Selangor tetap kental untuk mengekalkan gelaran yang disandang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FQUDMm00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Wicks perlu kerja keras -- Skuad Selangor musim ini dibarisi ramai muka baru

ARKIB : 19/01/1998
SEGALA teka-teki yang melanda juara Piala Malaysia musim lalu Selangor sudah terjawab dengan jurulatih Steve Wicks terus kekal bersama dua tenaga import Mehmet Durakovic dan Jeff Hopkins untuk tempoh semusim lagi.

Selangor kini sudah boleh memulakan langkah awal membuat persiapan rapi dalam usaha mempertahankan keunggulan yang diraih musim lalu mendakap Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih apabila kancah Liga Perdana bermula Mac ini.

Menilai satu persatu senarai 23 pemain yang membawa cabaran Selangor dalam Premier Satu nanti, Wicks sedar tugasnya bukan semudah dijangkakan tidak seperti ketika menjejakkan kaki musim lalu.

''Musim ini saya terpaksa bekerja keras lebih daripada musim lalu. Barisan kali ini tidak memberikan saya banyak pilihan sebaliknya menyaksikan ramai muka baru yang belum pernah saya lihat aksi mereka bermain dalam liga,'' ujar Wicks.

Jurulatih itu membayangkan jika Selangor masih memiliki Mubin Mokhtar, Yap Kam Choon, K. Gunalan, Ismail Ibrahim, Annuar Abu Bakar, Shahrin Majid atau Talib Sulaiman mungkin masih ada ruang untuk mengisi jika ada pemain utama yang dilanda kecederaan yang serius.

Sebaliknya kini Wicks terpaksa meneliti keupayaan enam muka baru yang belum pernah beraksi dalam kancah saingan liga.

Mereka ialah Abdul Rauf Ahmad, Azzmi Abd Aziz, Amali Amir, Amirul Zain Ismail, Mohd Gadaffi Md Karim dan V. Yogeswaran.

''Cuma saya ada 11 pemain berpengalaman dan enam pemain muda yang beraksi dalam kancah saingan liga dan Piala Malaysia.

''Memang pilihan yang berada di tangan saya terbatas. Ini memaksa saya perlu meneliti secara terperinci untuk menentukan posisi dan keberkesanan setiap seorang pemain,'' jelasnya.

Sekalipun pada pemerhatian secara kasar, barisan kali ini tidak mempunyai kekuatan yang sama seperti musim lalu, namun jurulatih itu enggan menjadikan sebarang alasan mengapa Selangor tidak mampu menjejaki kejayaan yang dirintis menjulang tiga kejuaraan pada 1997.

''Tugas saya memang berat tetapi ini tidak mematahkan semangat saya untuk memastikan impian musim ini tetap menjadi milik Selangor,'' ujarnya lagi.

Berdasarkan prestasi mendadak pemain muda musim lalu ketika menjulang Piala Malaysia seperti Aizal Lamin, Abdul Hadi Tahir, Nazzab Hidzan, Mohd Rizal Hasan, Hairil Zamri Abdul Rashid dan Shamsul Amri Abu Bakar, beliau turut mengharapkan kelibat enam muka baru dapat memberikan persembahan terbaik.

Lebih memeningkan Wicks adalah untuk mencari pengganti penyerang kontroversi Azman Adnan selepas Selangor tidak berupaya mendapat khidmat Christopher Kiwomya yang menjadi hero membantu Selangor mengekalkan gelaran Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut 20 Disember lalu.

''Saya masih belum ada bayangan siapa yang akan mengganti tempat Kiwomya. Ini perlu saya lihat pada sesi latihan awal bulan depan,'' katanya.

Ketiadaan Kiwomya pastinya membuka ruang kembali kepada bekas penyerang skuad Olimpik, Rusdi Suparman, penjaring terbanyak Liga Simpanan musim 1996 Hairil Zamri dan Mohd Rizal Hasan.

Namun jika Selangor masih mengekalkan khidmat Annuar dan Shahrin mungkin banyak pilihan kepada Wicks untuk mencatur strategi mantap di bahagian serangan.

Khidmat Kam Choon, Mubin, Ismail, Talib dan Chandran menjadi kumpulan pertama yang diketepikan oleh Selangor sebelum melepaskan ikatan Anuar dan K. Gunalan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FQKnMxtk © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 Julai 2016

Merah Kuning ikat Azlisham

ARKIB : 08/01/1998
SELANGOR meminta maaf kerana tidak dapat melepaskan penjaga golnya, Azlisham Ibrahim kepada Perak dalam usaha menyelesaikan masalah benteng terakhir skuad Seladang pada Liga Perdana musim akan datang.

Pengurus Pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, beliau telah dihubungi oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Aini Taib kelmarin yang menyatakan Selangor masih memerlukan khidmat Azlisham.

''Perak sebenarnya ingin meminjam Azlisham bagi mengatasi masalah kelemahan pintu golnnya yang begitu ketara sekarang,'' kata Raja Ahmad di Ipoh semalam.

''Jika Selangor tidak dapat melepaskan penjaga golnya itu, Perak akan beralih pula ke Negeri Sembilan,'' ujarnya.

Raja Ahmad menyatakan usaha-usaha sedang dijalankan bagi membawa pulang V. Murugan yang bermain dengan Negeri Sembilan sejak beberapa musim lalu.

Murugan yang berasal dari Sungai Siput telah beraksi dengan Perak pada tahun 1990 dan 1991 tetapi selepas itu beliau bermain dengan Kuala Lumpur dan Selangor.

Selain Murugan, Raja Ahmad berkata, tiga penjaga gol dari negeri lain turut menjadi idaman Perak tetapi enggan mendedahkan identiti mereka.

Sebelum ini, Perak dikatakan cuba memancing penjaga gol kebangsaan, Khairul Azman Mohamad yang mewakili Sabah tetapi Pengurus Pasukan itu menafikannya.

Raja Ahmad berkata, skuad Seladang itu tidak berhasrat ' mengganggu' Khairul kerana beliau masih mempunyai kontrak dengan Sabah.

Perak tertekan untuk mencari penjaga gol berwibawa musim depan apabila bekas penjaga gol Kedah, Azmi Mahmood yang diharapkan mempamerkan keunggulannya gagal memberi sumbangan yang bermakna musim lalu.

Akibat kegagalan tersebut Perak telah menamatkan kontrak Azmi pada bulan Oktober lalu dan berusaha mencari penjaga gol baru.

Penamatan kontrak Azmi menyebabkan Perak terpaksa menggunakan dua penjaga gol tempatan, Azhar Ahmad dan Ramzi Razuwan dalam Piala Malaysia yang lalu.

''Perak perlu mencari penjaga gol yang berwibawa supaya semangat lain-lain pemain tidak mudah luntur,'' tambah Raja Ahmad.

Katanya, jika pintu gol mudah dibolosi oleh pihak lawan akan menyebabkan semangat juang lain-lain pemain yang bekerja keras bagi menjaringkan gol lemah.

Namun begitu Perak tidak berhasrat tidak berhasrat untuk mengambil penjaga gol import kerana percaya penjaga gol tempatan masih berupaya melakukannya.

Perak sudah mempunyai dua pemain import dari Hungary, Laszlo Repasi yang muncul penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu dan Janos Krecska yang beraksi di benteng pertahanan.

Pemain import ketiga skuad Seladang itu sudah diisikan oleh seorang lagi pemain Hungary yang sedang bermain dengan kelab dalam liga di sebuah negara Eropah.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FDo6a5o3 © Utusan Melayu (M) Bhd

Azman kecewakan Presiden PBNS

ARKIB : 08/01/1998
 
MILIK SELANGOR... Pengurus Selangor, Mokhtar Ahmad (tengah) bersama Azman Adnan (kiri) dan Zainal Abidin Hassan selepas majlis menandatangani kontrak di Wisma FAS, Kelana Jaya, semalam.

AZMAN Adnan terus mencetuskan kontroversi apabila memilih untuk kembali menyarung jersi Selangor, selepas dikatakan bersetuju menyertai Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) musim ini.

Segala spekulasi berhubung perpindahan Azman terjawab semalam, apabila dia menandatangani kontrak setahun dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di Wisma FAS, Kelana Jaya bersama pemain veteran Zainal Abidin Hassan.

Keputusan Azman nyata meriangkan pengurusan FAS serta penyokong Selangor, tetapi tindakannya itu mengecewakan pengurusan PBNS yang menunggu hampir tiga jam di Seremban kerana mengadakan majlis yang sama untuk pemain terbabit.

Turut menghadiri majlis menandatangani kontrak berkenaan termasuklah Presiden PBNS yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta pegawainya.

Pengurus Selangor, Datuk Mokhtar Ahmad nyata terkejut ketika diberitahu Azman dikaitkan dengan majlis berkenaan yang turut membabitkan jurulatih Negeri Sembilan M. Karathu serta bekas pemain import Sabah Scott Olleranshaw.

''Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh berlaku, tetapi apa yang saya pasti Azman tidak pernah menurunkan tandatangannya kepada mana-mana pasukan selain Selangor,'' katanya pada sidang akhbar, semalam.

Menurut Mokhtar, Azman sememangnya sudah memberi persetujuan utuk kekal bersama Selangor walaupun beliau mengambil alih jawatan pengurus daripada Presiden FAS, Datuk Mohd. Aini Taib.

''Sejak awal lagi saya rasa tidak timbul soal Azman akan menyarung jersi Negeri Sembilan atau Pahang seperti yang digembar-gemburkan.

''Ini kerana Presiden (Aini) sudah memberitahu saya, tiada sebarang perubahan akan berlaku dalam pasukan Selangor ketika beliau menyerahkan jawatan pengurus kepada saya,'' katanya lagi.

Azman, 26, menyertai Selangor pada 1993 selepas terbabit kontroversi yuran perpindahan RM1 juta yang dituntut Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL).

Dia menjadi pemain yang paling diminati penyokong Merah Kuning selepas itu kerana membantu pasukan berkenaan mencipta kejayaan hatrik Piala Malaysia selain kejayaan menjuarai divisyen satu (1994), Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Menurut Mokhtar, kandungan kontrak yang ditawarkan kepada Azman adalah mengikut peraturan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu tidak melebihi RM5,000 sebulan beserta bonus RM3,000.

Katanya, tindakan Azman untuk kekal bersama juara Piala Malaysia itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Selangor memiliki segala ciri-ciri yang diperlukan pemain terbabit.

''Azman rasanya sudah cukup sinonim dengan pasukan Selangor, dia tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sepasukannya,'' katanya lagi.

Menurut Mokhtar, keputusan Azman itu tidak perlu dipertikaikan kerana pemain terbabit bebas memilih pasukan yang diminatinya selagi dia terikat dengan mana-mana pasukan.

Sementara itu, mengulas kedudukan pemain import Selangor, menurut Mokhtar setakat ini pasukan itu hanya memiliki seorang pemain iaitu Alexander Freeman menandatangani kontrak minggu lalu.

Manakala kontrak pemain pertahanan dari Wales, Jeff Hopkins tamat hujung tahun lalu dan FAS sudahpun mengemukakan sokongan untuk menawarkan kontrak baru kepada pemain terbabit.

Mengulas kedudukan ketua pasukan Mehmet Durakovic, Mokhtar berkata keputusan sama ada mengekalkan khidmat pemain terbabit hanya akan diputuskan selepas mengambil kira soal kewangan FAS.

''Melihat kepada situasi ekonomi negara, FAS sememangnya bercadang untuk mengurangkan perbelanjaan. Keputusan sama ada menggunakan khidmat lebih dari dua pemain import hanya akan diputuskan selepas melihat kedudukan kewangan persatuan.

''Bagaimanapun, ia tetap bergantung kepada hasil perbincangan dengan jurulatih Steve Wicks.

''Sekiranya beliau berpendapat ia adalah sesuatu yang perlu, kami akan mempertimbangkannya,'' katanya lagi.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FDmS4kei © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 22 Julai 2016

Selangor terpaksa korban lima tonggak utamanya

ARKIB : 05/01/2000
SELANGOR terpaksa berkorban dengan menggunakan sebahagian besar pemain simpanan apabila memulakan aksi bola sepak Liga Perdana Satu dan Piala FA yang bermula Mac ini, apabila lima tonggak utamanya terpaksa dilepaskan untuk tugas negara.

Pengurus pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad berkata, lima pemain Merah Kuning iaitu penyerang Rusdi Suparman, dua pemain pertahanan Syamsul Amri Abu Bakar dan Lim Chan Yew serta pemain baru, Zami Mohd. Noor dan B. Rajinikandh akan menggalas cabaran negara ke pusingan kelayakan Piala Asia, Mac ini.

''Kami terpaksa memulakan aksi dengan sebahagian besar pemain simpanan dengan ketiadaan lima pemain ini.

''Begitu pun, kami tidak kisah kerana Selangor sudah berjaya memperoleh sebuah pasukan yang mantap dengan barisan pemain yang diyakini mampu menyumbangkan sesuatu yang diharapkan.

''Lagi pun, tugas negara juga perlu diutamakan dan saya harap, lima pemain kami dapat menunjukkan satu tahap aksi yang membanggakan negara,'' kata Mokhtar semalam.

Skuad kebangsaan kendalian jurulatih Abdul Rahman Ibrahim, bakal menghadapi kelayakan dua pusingan Piala Asia dengan pusingan pertama dilangsungkan di Kuala Lumpur pada 25-29 Mac dan pusingan kedua di Bangkok, Thailand pada 4-8 April.

Malaysia diletakkan dalam kumpulan 8 bersama Thailand, Korea Utara dan Taiwan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4F8k3hCR9 © Utusan Melayu (M) Bhd