Isnin, 25 Julai 2016

Gunalan tidak akan diambil semula - FAS


 

ARKIB : 02/02/1998
Gunalan tidak akan diambil semula - FAS
K. GUNALAN

SELANGOR sama sekali tidak berminat untuk menawarkan tempat kepada bekas pemain pertahanannya, K.Gunalan bagi kembali menyarung jersi skuad itu menghadapi kempen musim ini, AMRAN MULUP melaporkan.

Sebaliknya keputusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menamatkan kontraknya awal Januari ini adalah muktamad.

Biarpun FAS menamatkan kontraknya ketika masih berbaki hingga hujung tahun ini, tetapi keputusan itu telah dipersetujui oleh Gunalan.

Malah FAS turut menafikan tohmahan persatuan itu tidak profesional ketika mengambil keputusan menamatkan kontrak Gunalan yang masih berbaki setahun itu.

Menurut Setiausaha Agungnya, Hamidin Mohd. Amin keputusan untuk menamatkan kontrak bekas pemain kebangsaan itu adalah hasil keputusan kolektif majlis FAS selepas mengambil kira banyak perkara.

''FAS tahu dia masih mempunyai kontrak dan tindakan kita pula tidak sama sekali membelakangkan peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

''Kita tahu sebarang tindakan yang dilakukan sudah diketahui awal oleh Gunalan,'' jelas Hamidin.

Tambahnya lagi, kedua-dua belah pihak telah mencapai persetujuan berhubung perkara itu.

Mengikut peraturan FAM, mana-mana pemain yang masih mempunyai kontrak tetapi ditamatkan serta merta, pihak persatuan terpaksa membayar pampasan yang dipersetujui kedua-dua belah pihak.

''FAS sudah memberitahu Gunalan, jika dia tidak menerima sebarang tawaran dari pasukan lain selepas kontraknya ditamatkan, FAS akan membayar pampasan yang akan dibincangkan.

''Di sini tidak timbul soal adanya sikap tidak profesional FAS dalam mengendalikan kes Gunalan. Dalam minggu ini FAS akan mengadakan pertemuan dengan Gunalan bagi membincangkan pampasan tersebut,'' ujar Hamidin.

Jelasnya lagi, kes Gunalan dijangka akan berakhir di meja rundingan.

Sebelum itu, Gunalan telah mengemukakan surat aduan kepada FAS berhubung tindakan menamatkan kontraknya yang masih berbaki hingga hujung Disember 1998.

Antara isi kandungan surat itu, Gunalan melahirkan rasa terkejut dengan tindakan pengurusan Selangor menyingkirkan dia dianggap sudah terlewat.

Dalam perkembangan lain, FAS masih menunggu tarikh yang masih belum ditetapkan oleh FAM mengenai tribunal berhubung kes Azman Adnan yang dibangkitkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

''Setakat ini belum ada sebarang berita berhubung tribunal tersebut tetapi saya difahamkan kemungkinan dalam minggu ini,'' jelasnya.

Dalam pada itu, ahli jawatankuasa Semi-Pro Selangor, Ahmad Redza Abdullah dilantik mewakili FAS untuk menghadapi tribunal FAM nanti.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FUWoxW2q © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan