Selasa, 26 Julai 2016

Selangor, NS sah sertai 4 penjuru

ARKIB : 17/02/1998
SELANGOR dan Negeri Sembilan telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan bola sepak empat penjuru yang akan berlangsung 2 hingga 7 Mac ini, di Singapura.

Kejohanan yang dianjurkan oleh sebuah kelab bola sepak di republik tersebut, Balestier Central menawarkan hadiah bernilai lebih RM20,000.

Kehadiran juara Piala Malaysia itu bersama-sama skuad Rusa dijangka akan dapat mengubat kerinduan peminat-peminat bola sepak Singapura yang sudah lama tidak melihat aksi-aksi pasukan dari Malaysia.

Selangor dikatakan sudah mengesahkan akan menghantar pasukan terbaik bagi menyertai kejohanan itu yang akan turut disertai oleh sebuah lagi kelab dalam Liga-S (Singapura), Tiong Bahru.

Manakala Negeri Sembilan pula dilaporkan akan menyenaraikan bekas penyerang Sabah, Scott Olerenshaw dalam kejohanan itu yang dianggap oleh Kelab Balestier Central sebagai 'tirai pemanas' bagi Liga S dan Liga Malaysia yang akan bermula April ini.

Bagi peminat bola sepak Singapura, Selangor bukanlah pasukan asing bagi mereka apatah lagi dengan dibimbing oleh Steve Wicks yang pernah berkhidmat dengan sebuah kelab di negara itu, Woodlands Wellington pada tahun 1996.

Bagaimanapun pada masa ini pihak penganjur masih belum lagi menentukan gelanggang kejohanan itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4FVtrKQeO © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan