MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
SHAH ALAM: Jurulatih Selangor, B Sathianathan mahu
menggenggam tiket final Piala Malaysia sebagai hadiah paling bermakna buat
dirinya.
Katanya, keceriaan itu pasti berganda apatah lagi beliau
akan menyambut perayaan Deepavali, esok.
Bukan itu saja, sekiranya mereka berjaya menyingkirkan
Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat separuh akhir malam ini, beliau juga mahu
menghadiahkan kejayaan itu kepada seluruh penyokong Selangor.
Sathianathan juga yakin situasi itu bakal menjadi
motivasi tambahan kepada beberapa pemain yang beragama Hindu seperti K
Sarkunan, K Prabakaran dan A Namathevan.
“Memang ini yang dimahukan, bukan saja untuk saya serta
pemain-pemain yang sedang bersama pasukan namun demi penyokong Selangor
terutamanya yang beragama Hindu.
“Kami mahu jadikan suasana perayaan Deepavali nanti
sebagai satu senario indah dan bermakna kepada mereka, jadi saya harap kami
dapat ke perlawanan akhir Piala Malaysia,” katanya ketika ditemui pada sesi
latihan pasukan, semalam.
Dalam pada itu, Sathianathan mengesahkan mereka akan
terus kehilangan ayam tambatan di bahagian tengah, Endrick Dos Santos yang
masih belum pulih daripada kecederaan pangkal paha namun beliau tidak terlalu
bimbang dengan situasi berkenaan.
Kehadiran Sandro Da Silva sejak aksi separuh akhir
pertama lalu sudah cukup membuatkan Sathianathan tersenyum lebar selain
Sarkunan dan Abdul Halim Shaari yang mampu memikul peranan di bahagian tengah
bagi mengekang penguasaan JDT.
“Endrick seorang pemain yang banyak membantu kami sebelum
ini dan ketiadaan dia sememangnya satu kehilangan kepada pasukan apatah lagi
dalam situasi seperti ini.
“Bagaimanapun, saya masih ada pemain lain seperti
Sarkunan atau Halim bagi memegang watak di bahagian tengah selain kembalinya
Sandro.
“Dua bulan berehat panjang, dia hampir mendapatkan rentak
ketika aksi separuh akhir pertama walaupun belum sama ketika dia bermain di
liga, tetapi saya nampak dia akan lebih bersedia berdasarkan situasi di tempat
latihan,” katanya.
Pada separuh akhir pertama, JDT membawa kelebihan tipis
2-1 dari Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lalu menerusi gol
daripada Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez, manakala Ifedayo Olusegun menjadi
penjaring tunggal Selangor.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober
2019 @ 6:00 AM