BERNAMA | | 23 Oktober 2019

B Sathianathan
PENGENDALI Selangor, B Sathianathan memasang impian
melihat satu lagi magis berlaku di Stadium Shah Alam, ketika berhadapan Johor
Darul Ta'zim (JDT) pada aksi kedua separuh akhir saingan Piala Malaysia 2019,
Sabtu ini.
Selangor tewas 1-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin, dalam perlawanan pertama yang berlangsung sengit Sabtu lepas dan
Sathianathan optimis barisan anak buahnya memiliki keupayaan untuk mengatasi
skuad Harimau Selatan itu di Shah Alam.
Stadium Shah Alam sebelum ini menjadi saksi kebangkitan
luar biasa Selangor, apabila menyingkirkan Perak di peringkat suku akhir dengan
keputusan agregat 3-2 selepas melakar kemenangan 3-1.
"Saya harap begitulah (kejayaan menewaskan Perak
berulang) tetapi saya seorang jurulatih yang realisitik. Saya tahu kalau pemain
bersedia dengan baik, kita mampu lakukan kerana ini bola sepak, apa-apa boleh
berlaku meskipun menentang pasukan gergasi. Selangor masih ada harapan (mara ke
final).
"Kalau saya tidak percaya dengan kemampuan pasukan
saya dan kejutan yang boleh berlaku dalam bola sepak, saya akan bungkus segala
barang-barang dan tidak akan turun ke stadium Sabtu ini," katanya.
Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu turut mencabar
barisan tengah pasukannya 'mematikan' langkah gandingan bintang JDT Hariss
Harun dan Leandro Velazquez, selepas kelibat dua pemain import itu menghadkan
penguasaan bola Selangor di bahagian tersebut ketika perlawanan di Larkin.
"Harris dan Leandro pemain yang penuh dengan
imaginasi dan sangat berpengalaman. Mereka adalah pemain tengah terbaik dalam
liga kita dan saya cabar pemain tengah saya untuk lawan mereka di posisi
itu," jelasnya.
Dalam pada itu, Sathianathan berkata, sokongan padu
penyokong Sabtu ini, mampu menjadi pendorong kebangkitan dan mengharapkan
Stadium Shah Alam menjadi lautan 'Merah Kuning'.
Selangor merupakan pasukan paling berjaya dalam sejarah
penganjuran Piala Malaysia, apabila merekodkan kejuaraan sebanyak 33 kali dan
kali terakhir Selangor muncul juara adalah pada edisi 2015. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/53679/BERITA/Sukan/Satu-lagi-magis-di-Stadium-Shah-Alam-B-Sathianathan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan