Selasa, 23 Februari 2021

Konrad import baharu Selangor FC

| | 22 Februari 2021




Konrad diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu Selangor FC pada Isnin.
SELANGOR FC mengikat kontrak pemain tengah dari Jerman, Manuel Konrad, 32, secara rasmi bagi melengkapkan senarai pemain importnya musim ini dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) bulan depan.
Selangor FC dalam kenyataannya pada Isnin memaklumkan, penyertaan pemain berasal dari wilayah Illertissen, Jerman ke dalam skuad Merah Kuning itu, adalah selepas dihubungi Ketua Jurulatih Red Giants, Karsten Neitzel dan Pengarah Teknikal Selangor, FC Michael Feichtenbeiner.
Konrad dalam kenyataan yang sama memaklumkan, kedua-dua figura tersebut adalah individu penting dalam memberi inspirasi kepadanya untuk menyertai Selangor FC.
“Saya yakin Selangor FC dapat bermain dengan cara yang menarik dan bersemangat tinggi, dengan falsafah yang dirancang. Ia pasti memerlukan sedikit masa untuk menjayakannya, tetapi jika kita bekerja keras kita mampu melakukan apa sahaja,” katanya.
Pemain yang berketinggian 187 sentimeter itu pernah beraksi dalam saingan Bundesliga 2 (Liga Divisyen 2 Jerman) bersama pasukan utama SC Freiburg, dan berjaya menjulang piala Jerman ‘second tier’ untuk musim 2008/2009.
Sebelum melebarkan sayapnya ke Asia, Konrad juga telah beraksi dalam 65 perlawanan bagi KFC Uerdingen 05 bermula musim 2018/2019 dan merekodkan satu jaringan serta dua bantuan gol sepanjang bersama kelab terakhirnya itu tahun lalu.
Dalam pada itu, Neitzel dalam kenyataan yang sama menyatakan kehadiran bekas anak didiknya di SC Freiburg itu dilihat mampu membantu mengukuhkan jentera tengah The Red Giants.
“Saya telah menyaksikan Manu di SC Freiburg selama dua tahun. Saya yakin kemampuan dan kebolehan beliau menguatkan pasukan Selangor FC bersama pemain-pemain lain.
“Dia seorang pemain yang serba boleh terutamanya di pertahanan tengah. Dia juga tidak dinafikan memiliki susuk fizikal bagus dan mempunyai semangat berpasukan yang baik. Saya yakin apabila dia mencapai 100 peratus tahap kecergasan, dia akan menunjukkan prestasi maksimumnya di padang,” katanya. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/125225/BERITA/Sukan/Konrad-import-baharu-Selangor-FC© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Selasa, 16 Februari 2021

Ifedayo, Shahrel taring bisa Selangor

MyMetroTopic



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Gandingan dua penyerang terbaik Liga Malaysia (Liga M) musim lalu bakal menjadi taruhan pasukan Selangor FC dalam misi merobek gawang lawan musim ini.

Penyerang import, Ifedayo Olusegun memenangi anugerah Kasut Emas selepas mengumpul 12 gol sepanjang musim lalu manakala Shahrel Fikri yang beraksi bersama Perak sebelum ini pula dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK20).

Lantas, dengan keupayaan dan keampuhan jentera depan skuad Red Giant itu, sudah pastinya momentum sama diharapkan daripada dua penggempur itu musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, Ifedayo dan Shahrel akan digandingkan bersama dan beliau percaya kedua-duanya mampu menampilkan persefahaman meskipun baru kali pertama digandingkan.

"Ikut perancangan pasukan, memang kita gandingkan Ifedayo dan Shahrel di bahagian serangan. Kedua-dua ada keistimewaan dan mereka antara penyerang terbaik musim lalu. Kita harap prestasi sama akan dikekalkan dan harap mereka akan bermain baik," katanya kepada Arena Metro.

Beliau berkata, musim ini Ifedayo akan mengisi slot selaku pemain Asia apabila tonggak kelahiran Nigeria itu memohon pasport Bahrain.

"Ya, dia akan didaftarkan sebagai pemain kuota Asia musim ini. Walaupun ada satu lagi kekosongan untuk pemain import dari benua lain, perancangan kita tetap sama mahu Ifedayo dan Shahrel digandingkan," katanya.

Terdahulu, Selangor FC mengumumkan secara rasmi pemain tengah dari Switzerland, Oliver Buff dan tonggak pertahanan dari Jerman, Tim Heubach diikat musim ini selepas mengekalkan Ifedayo dan Safuwan Baharudin (kouta Asean).

Ini bermakna, jika Ifedayo didaftarkan sebagai pemain import Asia, Selangor FC masih mempunyai satu lagi tempat untuk mengisi pemain import.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 8:30 PM