Rabu, 13 November 2019

Dua tonggak B-18 pilih Selangor


MyMetroArena
 
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
MAHUKAN pendedahan secara menyeluruh dan berpeluang beraksi dalam pasukan utama menyebabkan dua pemain skuad Bawah 18 Tahun (B-18) Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Ahmad Zikri Mohd Khalili memilih Selangor sebagai destinasi mengembangkan bakat masing-masing pada masa akan datang.

Walaupun dua pemain berkenaan menerima dua tawaran lain daripada pasukan negeri kelahiran dan Johor Darul Ta’zim (JDT), mereka melihat Selangor lebih bersungguh mendapatkan mereka untuk diserapkan dalam pasukan.

Sikh Izhan Nazrel yang juga penjaga gol utama skuad B-18 berkata, dia lebih memilih Selangor sebagai destinasi musim hadapan berikutan berhampiran dengan keluarga selain memudahkannya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.


AHMAD Zikri (kiri) mengasak pemain Thailand, Arthit Bua Ngam pada Kejuaraan B-16 AFC 2018 di Stadium Bukit Jalil.
Katanya, JDT pasukan bagus dan terbaik selain persaingan sihat mampu meningkatkan lagi prestasi namun pada masa Selangor turut semakin meningkat selain berusaha menyediakan fasiliti terbaik kepada pemain.

“Jika ikutkan saya terima dua tawaran daripada JDT dan Selangor selain kampung halaman Pulau Pinang turut memanggil untuk bermain bersama mereka.

“Cuma saya berat kepada Selangor untuk mengembangkan lagi bakat namun sekarang ini belum lagi tandatangan kontrak bersama mereka,” katanya, di sini.

Sementara itu, Ahmad Zikri yang juga pemain kelahiran Pahang menolak tawaran daripada negeri asal kerana tertarik kepada tawaran Selangor kerana mempunyai pelan pembangunan lebih tersusun.

“Saya pilih Selangor sebab mahukan minit perlawanan dan peluang cerah diserap dalam pasukan utama selain permainan akan cepat matang. JDT seperti kita ketahui sememangnya mempunyai fasiliti lengkap dengan pemain hebat berada di sana cuma lebih baik saya berada atau menimba pengalaman bersama skuad Gergasi Merah,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 9:17 PM


Selangor gigit jari di Jalan Besar

Oleh Rizar Mohd Noor 
 Selangor gigit jari di Jalan Besar
Pemain Lions XII, Sufian Anuar (tengah) mengasak pemain Selangor, K Gurusamy di Stadium Jalan Besar, malam tadi.
Singapura: Lions XII terus gah ketika beraksi di padang rumput tiruan apabila mencipta kemenangan pada minit akhir perlawanan menewaskan Selangor 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar, malam tadi.

Skrip perlawanan nyata dikuasai Selangor yang mempamerkan aksi menarik menerusi umpanan pendek sehingga anak didik Fandi Ahmad pada awalnya jelas terpaku dengan corak taktikal itu.
Dalam tempoh 20 minit babak pertama tuan rumah bagaikan hilang arah dengan penguasaan permainan anak didik Mehmet Durakovic sehingga buntu membuat percubaan berbahaya ke arah gawang Selangor yang dikawal, Farizal Marlias.

Ledak gol pertama
Hanya pada minit ke-36, Lions XII hampir mencemaskan benteng pertahanan Selangor apabila bola umpanan Sufian Anuar membuka ruang kepada Khairul Amri yang sempat memperdayakan pertahanan pelawat, namun bola rembatan sekadar melepasi palang gol.

Peluang terbaik Selangor untuk mencipta jaringan hadir pada minit ke-40 berpunca sepakan percuma Junior Aparecido yang sedikit tersasar dari gawang gol.
Lions XII turut hampir meleraikan kebuntuan jaringan selang tiga minit kemudian selepas bola sepakan Hafiz Sujad sekadar singgah palang gol.

Namun tuan rumah mendahului 1-0 selepas bola sepakan sudut Zulfahmi Arifin pada minit ke-44 berjaya ditanduk Shakir Hamzah untuk menewaskan Farizal yang hanya mampu melihat bola menerjah jaring.

Selepas bertali arus mengasak ke kubu Lions XII akhirnya Selangor bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-57 berpunca dari sepakan sudut Aparecido tempat kepada Fitri Shazwan yang menanduk deras sehingga penjaga gol, Izwan Mahbud gagal menepis bola daripada menerjah jaring.

Namun, berpunca dari `set piece' menerusi sepakan sudut daripada Shafiq Ghani pada minit akhir perlawanan menyaksikan Khairul Amri menanduk bola untuk memastikan kemenangan buat Lions XII.

Berita Harian online 26.1.14