ARKIB : 08/08/2011
SHAH ALAM Kejayaan Selangor menumpaskan skuad
bola sepak kebangsaan 1-0 pada aksi persahabatan kelmarin, disifatkan permulaan
yang baik untuk memburu kejuaraan Piala Malaysia kali ke-33 setelah kali
terakhir menjulang piala itu pada 2005.
Ketua jurulatih Selangor K. Devan berkata, walaupun
hanya perlawanan persahabatan, jika Selangor mampu mengekalkan prestasi itu,
peluang untuk merangkul Piala Malaysia agak cerah.
Ini satu kemenangan moral kepada pasukan dan
diharap akan turut meningkatkan keyakinan pemain dalam kempen Piala Malaysia
nanti, katanya selepas perlawanan.
Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Devan
berkata, walaupun hanya perlawanan persahabatan namun pemain Selangor begitu
serius dalam aksi mereka.
Menentang pasukan kebangsaan, pemain Selangor
perlu menampilkan satu persembahan pada satu tahap yang lebih baik untuk
memberi saingan, kemenangan ini adalah hasilnya, katanya.
Beliau turut memuji aksi yang dipamerkan bekas
pemain pertahanan kebangsaan, Mohd. Nasriq Baharom yang walaupun kurang cergas
menampilkan aksi yang menarik.
Sebelum ini saya hanya ada Mohd Amirul Hadi,
dengan kembalinya Nasriq dalam pasukan Red Giants kini memberi peluang kepada
saya untuk membuat pilihan antara mereka berdua, katanya.
Pada saingan Piala Malaysia Selangor diletakkan
dalam kumpulan D bersama T-Team, Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kehadiran tiga pemain pinjaman untuk aksi Piala
Malaysia iaitu Haziq Zikri Elia (Harimau Muda A), Muhd Nazri Ahmad (Harimau
Muda A) dan G. Jeevananthan (USM) akan memberi lebih pilihan dan ramuan
tambahan kepada Devan dalam misi memburu kejuaraan Piala Malaysia 2011.
Pada kempen Piala Malaysia tahun lepas, Selangor
terkandas pada suku akhir apabila kalah dengan agregat 3-0 kepada Kelantan,
yang kemudiannya muncul juara.
Saingan Piala Malaysia 2011 akan bermula pada 6
September ini dan perlawanan akhir dijadual 26 Oktober ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5fan0VZEW
© Utusan Melayu (M) Bhd