Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
PEMAIN Selangor Raimi Md. Nor
(kanan) dihalang oleh pemain PDRM pada aksi persahabatan di padang Pulapol,
Kuala Lumpur semalam.
PENGENDALI skuad Selangor, P.
Maniam masih tidak berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya meskipun
berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
pada perlawanan pramusim kedua sejak mengambil alih kerusi ketua jurulatih
secara rasmi minggu lalu.
Pada perlawanan tersebut,
pemain akademi Gergasi Merah, K. Kannan berjaya meletakkan pasukan pelawat di
depan hasil rembatan kencang pada minit-4 sebelum pemain import PDRM, Bakary
Dao Bouba menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-32. Namun,
Selangor mendapatkan gol kemenangan berselang 10 minit kemudian selepas Forkey
Doe menyempurnakan sepakan penalti sebelum tamat separuh masa pertama.
Menurut Maniam, secara
keseluruhan persembahan barisan pemainnya pada babak pertama sangat
memberangsangkan selain kombinasi antara pemain muda dan senior agak menjadi
tetapi situasi yang berbeza berlaku pada separuh masa kedua.
“Pada separuh masa pertama,
kami gunakan sepenuhnya pemain kami dan saya lihat ada peningkatan berbanding
perlawanan pertama menentang Sime Darby minggu lepas. Cuma, selepas melakukan
rombakan pada babak kedua dengan memasukkan beberapa pemain import, pergerakan
barisan serangan kami tidak begitu lancar.
“Secara jujur, semua pemain
import yang hadir pada petang ini (semalam) tidak berjaya memikat hati kami dan
tidak mencapai standard yang ditetapkan pasukan. Justeru, kami masih mengharap
ada lagi pemain import yang berkualiti akan hadir sebelum jendela perpindahan
pemain ditutup nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur
semalam.
Sebagai rekod, Selangor telah
meletakkan enam pemain import daripada pelbagai warga negara seperti Costa
Rica, Nigeria, dan Cameroon untuk melengkapkan kuota importnya masih mempunyai
dua kekosongan.
“Kami masih memiliki dua slot
untuk pemain import selepas menandatangani (Ugo) Ukah dan mengekalkan khidmat
Andik (Vermansyah). Meskipun Forkey Doe beraksi cemerlang hari ini, status
kontraknya hanya akan diketahui pada minggu depan.
“Bagi pemain presiden pula,
saya telah menyerap lapan pemain ke dalam skuad senior dan saya gembira dengan
prestasi yang dipamerkan oleh mereka khususnya Muhammad Syahmi Safari dan K.
Kannan.
“Kini, kami akan menantikan
kehadiran Andik yang dijangka akan tiba pada 10 Januari depan sebelum
mengumumkan senarai pasukan lengkap untuk mengharungi liga tahun ini,” jelasnya
lagi.
Juara Piala Malaysia sebanyak
33 kali itu akan melayan kunjungan Terengganu dalam aksi perlawanan pramusim
ketiga di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Rabu depan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4V2xaMXUk
Hakcipta terpelihara