ARKIB : 12/04/1998
TERLEPAS... Penyerang Selangor,
Alexander Freeman (kanan) berjaya melepasi dua pemain Brunei pada perlawanan
bola sepak Perdana Satu di Stadium Shah Alam, malam tadi. Selangor seri 1-1. -
Gambar ASWAD YAHYA.
SELANGOR meneruskan episod
malang apabila gagal menjinakkan Brunei yang beraksi dengan sepuluh pemain
apabila sekadar terikat dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan bola sepak
Perdana Satu di Stadium Shah Alam malam tadi.
Ketika Selangor selesa dengan
gol pendahuluan jaringan Alexander Freeman pada minit ke-39, tandukan Zannoun
Farouk Al Hassan terus memadamkan hajat menggunung mengutip tiga mata penuh di
hadapan 6,000 penyokong tuan rumah.
Keputusan ini terus
menghampakan Selangor selepas kehilangan satu gelaran Piala Sumbangsih, tunduk
1-3 kepada Sarawak minggu lalu.
Kelebihan sepatutnya memihak
kepada tuan rumah dengan Brunei tempang beraksi dengan sepuluh pemain selepas
Suni Mat Jerah di perintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua pada
minit ke-33.
Biarpun mengandingkan Rusdi
Suparman dengan Azman Adnan namun tindakan penyudah sering menjadi penghalang
biarpun banyak peluang tercipta.
Sebaik wisel bermula Selangor
lebih awal mengasak dengan dua peluang hadir selang seminit menerusi Azman dan
Rusdi tetapi tidak menepati sasaran.
Ketika Selangor menguasai
pentas saingan, Brunei sempat mencuri peluang mencemaskan benteng Selangor
tetapi Suni Mat Jerah sekadar menyepak keluar pada minit ke-17.
Brunei kembali tertekan dengan
asakan tuan rumah. Azman berjaya melepasi perangkap off-said tetapi tolakannya
selepas menewaskan penjaga gol Brunei, Mohd Yunos Mohd Yusof meliar keluar.
Bagaimanapun pelawat tersentak
beraksi dengan sepuluh pemain pada minit ke-33 apabila Suni Mat Jerah
dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua apabila mengkasari
Mehmet Durakovic.
Kepincangan lawan membolehkan
Selangor mencuri peluang. Gol awal yang dicari menjadi kenyataan menerusi
jaringan Alexander Freeman pada minit ke-39.
Bermula dari tolakan Azman ke
sebelah kiri, Freeman mengutip bola dengan larian pantas tanpa dicabar lantas
dia menyepak tepat menewaskan Mohd Yunos.
Lima minit babak kedua bermula
Selangor nyaris-nyaris menambah gol kedua tetapi dihampakan sepakan lambung
Azman setelah memperdaya Mohd Yunos tersasar dari gawang.
Brunei akhirnya berjaya
memperolehi gol penyamaan menerusi tandukan Zannoun Farouk Al Hassan pada minit
ke-60.
Selangor hampa lagi dengan
kecekapan Mohd Yunos menolak keluar percubaan Freeman di atas palang gol pada minit
ke-71.
Oleh: AMRAN MULUP
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Gj1HsErz
© Utusan Melayu (M) Bhd