Khamis, 17 Mac 2016

Dollah puas hati berkongsi mata

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR

JIKA tidak kerana jaringan penyamaan Fabio Flor pada minit ke-90, Selangor sudah pasti berjaya mencalarkan rekod cemerlang Terengganu di gelanggang keramat mereka di Kuala Terengganu malam kelmarin.

 

Biarpun hanya membawa pulang satu mata, ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh (gambar) tetap gembira dan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya pada perlawanan kesembilan saingan bola sepak Liga Super musim ini.

 

“Keputusan perlawanan saja sebenarnya yang tidak memihak kepada kita untuk mencuri tiga mata penuh. Kita sedia maklum, Terengganu memang kebal di gelanggang sendiri.

 

“Tetapi, saya tetap rasa gembira kerana semua pemain Selangor telah mempamerkan aksi yang menarik malam tadi (kelmarin),” katanya ketika dihubungi semalam.

 

Pada perlawanan itu, Selangor mendahului 1-0 seawal minit keenam menerusi tandukan Frank Seator tetapi pada penghujung perlawanan, Flor menanduk masuk gol penyamaan hasil sepakan penjuru.

 

“Sepatutnya Terengganu tak dapat sepakan penjuru itu. Apa yang saya nampak, bola terakhir sebelum itu terkena pemain Terengganu sendiri, bukannya pemain Selangor.

 

“Tetapi inilah bola sepak. Walaupun sekadar seri, saya puas kerana melihat pemain-pemain saya semakin mantap dan telah menunjukkan peningkatan pada setiap perlawanan,” jelas Dollah.

 

Pengendali berusia 45 tahun itu turut tertarik dengan aksi beberapa pemainnya seperti pemain muda, Asraruddin Putra Omar dan bekas pemain Pahang, Indra Putra Mahayuddin.

 

“Walaupun kali pertama diturunkan dalam kesebelasan utama, Asraruddin berjaya membalas kepercayaan. Saya tak menduga dia boleh beraksi cemerlang.

 

“Begitu juga Indra yang turut mempamerkan kecemerlangan pada perlawanan itu.”

sumbe-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz43B0HC4z6


Hakcipta terpelihara

Safee mahu kekal rentak

 Safee Sali

“KEMENANGAN Selangor bukan disebabkan faktor individu, tetapi kerana pemain bermain secara berpasukan,” lapor DRAHMAN BAHAROM.

 

Demikian tegas penyerang sensasi Selangor, Safee Sali ketika mengulas mengenai kejayaan pasukannya membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

 

Safee muncul wira skuad Gergasi Merah apabila meledak hatrik pada perlawanan itu yang banyak dikuasai tuan rumah.

 

Menurut Safee, gandingannya bersama penyerang import, Frank Seator semakin menunjukkan peningkatan.

 

“Selepas empat perlawanan bersama, saya rasa gandingan kami semakin mantap.

 

“Selain itu, kerjasama daripada semua pemain amat penting kerana ia menjadi antara kunci kejayaan kami,” kata Safee kepada KOSMO! semalam.

 

PDRM mendahului pada minit ketujuh apabila pemain import, Hillary Echesa menjaringkan gol pembukaan.

 

Namun, jaringan itu tidak melemahkan Selangor yang tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Safee menemui sasaran pada minit ke-14.

 

Safee sekali bertindak cemerlang apabila meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-28 sebelum dia melengkapkan hatrik sembilan minit kemudian.

 

Akmal Rizal Rakhli melengkapkan malam gemilang Selangor dengan menjaringkan gol keempat tuan rumah pada minit-minit terakhir perlawanan.

 

Safee berkata, beberapa kesilapan yang dilakukan pemain pertahanan PDRM memberi peluang kepadanya untuk menjaringkan gol.

 

“Aksi barisan pertahanan PDRM kurang menyerlah, membuatkan kami mudah menjaringkan gol pada perlawanan itu,” katanya.

 

Katanya, dia berharap Selangor mengekalkan rentak kemenangan untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka.

 

Selangor yang berada di tangga kedua liga kini berkongsi 16 mata dengan Kedah yang masih mendahului liga, namun kedua-dua pasukan hanya dibezakan dengan jaringan gol.


SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz43AXZnZpy Hakcipta terpelihara