MOHAMMAD
ROZAIDI ZULKIFLI | 26 April 2016 12:13 AM
ZAINAL ABIDIN HASSAN (dua dari kiri) bersalaman dengan Frank Muescan (dua dari kanan) dalam sidang akhbar di Kepong , semalam. Turut kelihatan kapten kedua pasukan, Shahrom Kalam (kiri) dan Juan Luis Guirado. Utusan/Zakaria Idris
KUALA LUMPUR 25 April – Benteng Selangor yang kebal dalam dua perlawanan terakhir melegakan jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan apabila menerima kunjungan pendahulu Kumpulan E, Ceres FC dalam saingan Piala AFC esok.
Namun, ketumpulan jentera serangan sedikit meresahkan juara Piala Malaysia itu kerana Red Giants perlu mencari gol bagi mendapatkan tiga mata dalam aksi di Stadium Majlis Pembandaran Selayang.
“Selepas kerap dibolosi dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, Selangor menekankan tumpuan kepada aspek pertahanan.
“Ia amat berkesan dalam dua perlawanan terakhir apabila kami tidak dibolosi (menang 1-0 ke atas Pulau Pinang dan seri 0-0 dengan PDRM).
“Namun bahagian serangan kurang menyerlah. Kegagalan mencipta gol akan memberi masalah kerana tanpa gol sukar untuk meraih kemenangan.
“Misi esok adalah menang atau bakal berdepan kesukaran untuk ke peringkat seterusnya,” kata Zainal.
Selangor bakal beraksi tanpa pemain sayap, R. Gopinathan dan bek tengah, Mohd. Razman Roslan yang cedera.
Red Giants kini menghuni tangga ketiga dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri serta satu kekalahan.
Dalam pertemuan pertama dengan Ceres di Bacolod pada 23 Februari lalu, kedua-dua pasukan seri 2-2.
Sementara itu, jurulatih Ceres, Frank Muescan berkata, biarpun menghormati Selangor, namun dia optimis mampu mengejutkan tuan rumah.
“Saingan Kumpulan E sangat sengit dan kami hanya dipisahkan dengan satu mata di depan Selangor serta Tampines (Singapura), jadi kami perlu menang esok.
“Selangor pasukan yang kuat, namun kemenangan 2-1 ke atas Tampines dua minggu lalu memberi keyakinan kepada kami,” kata Muescan.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/selangor-lega-benteng-ampuh-1.290981#sthash.7pmUbhUL.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan